Tempoh reman dilanjut lima hari lagi

Tempoh reman ke atas seorang lelaki yang ditahan berhubung kematian Syed Muhammad Danial disambung lima hari lagi. (Gambar kecil, Fadzil Ahmat)
Tempoh reman ke atas seorang lelaki yang ditahan berhubung kematian Syed Muhammad Danial disambung lima hari lagi. (Gambar kecil, Fadzil Ahmat)
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh reman ke atas seorang suspek yang ditahan berhubung kes kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, susulan kemalangan di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan Sabtu lalu, dilanjutkan lima hari lagi.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 40 tahun itu akan direman sehingga Khamis ini.

Bagaimanapun katanya, reman terhadap seorang wanita yang merupakan isteri suspek yang turut ditahan sebelum ini tidak disambung.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri sebabkan kematian lelaki direman tujuh hari

Terdahulu, pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan kes pergelutan susulan kemalangan kecil yang menyebabkan pemandu kereta Perodua Axia, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, maut ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta pada hari yang sama.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan kecil berhampiran susur Bandar Baru Bangi selepas kereta mangsa melanggar bahagian belakang kereta suspek.

Kedua-dua pemandu kemudian berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi sebelum berlaku pergaduhan, tetapi pengguna lebuh raya yang lain berjaya meleraikan pergaduhan itu dan kedua-dua pemandu balik ke kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Artikel Berkaitan:

Suspek kemudian memandu keretanya ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa tersepit di antara kereta dan penghadang jalan.

Mangsa kemudian dibawa ke Nilai Medical Centre namun disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.