Sara Sofea tawan Gunung Elbrus

Sara Sofea bangga mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya menakluk puncak Gunung Elbrus petang kelmarin.
Sara Sofea bangga mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya menakluk puncak Gunung Elbrus petang kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun berjaya mencipta rekod apabila menjadi pendaki termuda Asia Tenggara menawan Gunung Elbrus di Rusia yang merupakan puncak tertinggi di benua Eropah.

Pengiktirafan tersebut diberikan oleh Presiden Mountaineering, Rock Climbing & Sports Tourism, Federation Of Kabardino-Balkarian, Republic Of Russia, Abdul Halim Olimezov kepada Sara Sofea Muhammad Illaham, selepas pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor itu berjaya tiba di puncak Elbrus setinggi 5,642 meter pada jam 4.25 petang kelmarin.

Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu sekali gus mencatat satu lagi sejarah baharu buat negara dalam sukan ekstrem terbabit dan lebih manis pendakian Sara Sofea turut diiringi jurulatih yang juga bapanya, Muhammad Illaham Ishak bersama Presiden KJA serta seorang lagi pendaki sokongan iaitu pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Farhan Abdul Rahman.

Dalam kenyataan sama, Sara Sofea memberitahu, dia mendedikasikan kejayaan menakluk Gunung Elbrus serta mencipta rekod itu kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tidak lama lagi.

Menurutnya, kejayaan itu juga buat kedua ibu bapanya, Penasihat KJA, Zainudin Lot, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, BSKK, Kementerian Pendidikan, Pengetua Sekolah Sains Kuala Selangor (KUSESS), Mohd Shahadan Abd Rahman, rakan-rakan sekolah, Aman Palestin termasuk para penaja misi pendakian.

“Syukur Alhamdulillah, akhirnya dapat mencapai impian untuk ke puncak tertinggi Eropah walaupun dalam keadaan mencabar fizikal dan mental saya. Ini satu pendakian yang sukar kerana faktor ketinggian, cuaca sejuk dengan suhu di bawah paras beku negatif 20 darjah Celsius termasuk beban peralatan pendakian.

"Saya tidak akan berhenti di puncak Elbrus ini saja dan akan cuba mendaki di beberapa puncak tertinggi di benua-benua lain seperti puncak Kilimanjaro, Afrika dan Aconcagua, Amerika Selatan dalam tempoh lima tahun ini bersama KJA yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia pendakian antarabangsa..... Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan menjayakan misi ekspedisi kali ini," katanya berazam untuk mengikuti jejak langkah bapanya yang berjaya menawan Gunung Everest.

Artikel Berkaitan:

Sara Sofea (tengah) bersama bapa dan Muhammad Farhan yang mengiringi misi pendakian ke puncak Gunung Elbrus mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62.
Sara Sofea (tengah) bersama bapa dan Muhammad Farhan yang mengiringi misi pendakian ke puncak Gunung Elbrus mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Muhammad Illaham berkata, anaknya itu menunjukkan semangat yang kental dan tidak mudah mengalah dengan cabaran yang dilalui sepanjang 12 jam pendakian ke puncak Elbrus.

“Sara mengalami AMS kerana faktor ketinggian gunung selain kekurangan oksigen, namun tetap melawan kesakitan dan meneruskan pendakiannya walaupun berdepan risiko lebih kronik akibat AMS yang dialami. Alhamdulillah dia berjaya melalui cabaran itu yang kebanyakan pendaki-pendaki lain akan mengalah dan gagal ke puncak.

"Dia juga tidak mengalami sebarang tanda-tanda serangan gigitan fros pada anggota tangan, kaki atau mukanya," katanya.

Pendakian Sara Sofea ke puncak Elbrus juga dirangka bersempena Misi Ekspedisi Belia Merdeka 2020 yang merupakan salah satu gunung yang tersenarai dalam tujuh puncak tertinggi di dunia iaitu '7 Summit' serta misi untuk mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62, selain meraikan pencapaian Wawasan 2020 yang bakal disambut tahun depan.

Sara Sofea yang berlepas ke Rusia pada 9 Ogos lalu untuk memulakan proses penyesuaian altitud tinggi di Gunung Cheget dan Pushtakov Rock serta persediaan peralatan pendakian di Elbrus, kini selamat tiba di Kem Induk Barrel Hut selepas melalui pendakian turun dari puncak dalam masa empat jam dan sedang melalui proses pemulihan dari kepenatan dan kelesuan akibat AMS yang dialaminya.