X

Kindly register in order to view this article
!

Instagram saksi cinta atlet paralimpik

Muhamad Firdaus menjalani sesi latihan bersama pasangan lain sempena program Walimatulurus Perdana 2019 di Dewan Majlis Daerah Marang petang tadi.
A
A

MARANG - Hubungan cinta antara atlet tenis paralimpik yang lumpuh kedua belah kakinya dengan seorang gadis normal yang terjalin hampir dua tahun, bakal berakhir dengan ikatan perkahwinan esok.

Muhamad Firdaus Ibrahim, 23, berasal dari Perak mengambil keputusan melamar Siti Fatimah Mohd Nor, 25, selepas yakin gadis kelahiran Kuala Terengganu itu adalah jodoh daripada ALLAH.

Bakal raja sehari itu akan disatukan dalam program Walimatulurus Perdana 2019 dan menjadi antara 24 pasangan pengantin yang dinikahkan di Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini esok.

Muhamad Firdaus berkata, dia mula mengenali Siti Fatimah sejak Oktober dua tahun lalu di Instagramnya tetapi hubungan mereka itu disifatkan hanya sekadar rakan di laman sosial.

Muhamad Firdaus Ibrahim
Muhamad Firdaus Ibrahim

"Dia (Siti Fatimah) menghulurkan salam perkenalan di Instagram dan ketika itu Siti baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Pahang sebelum kami berkawan secara serius.

"Sepanjang hampir dua tahun ini, pelbagai dugaan kami hadapi malah kami pernah 'putus' beberapa kali, namun berbaik semula. Siti turut memperkenalkan saya kepada setiap ahli keluarganya terlebih dahulu.

"Kami akhirnya membuat keputusan berkahwin awal tahun ini dan bersyukur terpilih untuk menyertai program itu. Semuanya adalah berkat doa semua ahli keluarga kami," katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, pasangan tersebut turut menjalani sesi latihan bersama pasangan lain sempena program Walimatulurus Perdana 2019 di Dewan Majlis Daerah Marang di sini petang tadi.

Ditanya mengenai kekurangan dirinya itu, Muhamad Firdaus berkata, dia lumpuh kedua dua belah kakinya selepas terlibat dalam kemalangan ketika berusia 16 tahun.

Dalam kejadian tersebut, motosikal yang diboncengnya terbabas selepas salah satu tayar pecah sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah dan dirinya lumpuh.

Ditanya mengenai perancangan masa depan mereka pula, anak muda itu berkata, mereka akan menetap di Kuala Lumpur sepanjang tempoh dia menjadi atlet tenis paralimpik Majlis Sukan Negara.