TNB rugi jutaan ringgit akibat ribut di Kedah

Gambar hiasan
A
A

ALOR SETAR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengalami kerugian jutaan ringgit akibat ribut pada Jumaat lalu, yang menyebabkan kerosakan kepada tiang dan wayar elektriknya di negeri ini.

Pengurus Besarnya Wan Ishak Soed berkata, kerosakan itu banyak disebabkan pokok tumbang yang menghempap tiang dan memutuskan wayar elektrik.

"TNB Kedah juga telah menerima sebanyak 3,079 aduan orang ramai, berkaitan gangguan bekalan elektrik ketika kejadian ribut yang berlaku pada Jumaat lalu.

"Bagaimanapun, TNB berjaya menyelesaikan kesemua aduan itu dalam tempoh tiga hari sehingga Isnin lalu,” katanya pada program Dialog Harapan Bersama Makmurkan Kedah, di sini hari ini.

Wan Ishak berkata, aduan yang paling banyak diterima bekalan elektrik terputus adalah di Pulau Langkawi dan Sungai Petani.

Katanya, bagi melancarkan operasi memulihkan semula bekalan elektrik, pihaknya telah meminta bantuan pasukan tambahan dari negeri-negeri lain termasuk Perak, Melaka, dan Selangor.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang kejadian kemalangan terkena renjatan elektrik sewaktu ribut tersebut.

"Saya menasihatkan supaya orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri, jika berlaku tiang dan wayar elektrik yang tumbang kerana arus elektrik ini kita tidak boleh nampak, dan laporkan kepada TNB menerusi talian 15454,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia