Hutang luar Malaysia kekal terurus: BNM

Nor Shamsiah Mohd Yunus
Nor Shamsiah Mohd Yunus
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hutang luar Malaysia, yang berjumlah RM931.1 bilion atau 61.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun tahun ini, kekal terurus.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, hutang kekal terurus berdasarkan mata wang dan profil kematangannya serta kedudukan aset luar yang besar.

“Hampir kepada satu pertiga daripada hutang luar adalah dalam ringgit (31.7 peratus), terutamanya dalam bentuk pegangan sekuriti hutang domestik oleh bukan pemastautin dan dalam deposit ringgit dalam bank tempatan, yang tidak tertakluk kepada perubahan penilaian.

“Baki hutang luar sebanyak RM636.1 bilion (68.3 peratus) dalam mata wang asing (FC) dan sektor korporat menyumbang lebih sedikit daripada separuh dan sebahagian besarnya tertakluk kepada keperluan lindung nilai dan berhemat," katanya pada sidang media semasa mengumumkan data KDNK suku kedua di sini hari ini.

Menurutnya, berbanding akhir Mac tahun ini, hutang luar (59.5 peratus daripada KDNK) meningkat, mencerminkan penurunan pinjaman antara bank dan pinjaman antara syarikat.

Beliau berkata terdapat juga pelarasan penilaian semula daripada ringgit yang lemah berbanding mata wang serantau pada suku kedua, yang sebahagiannya diimbangi oleh penjualan sekuriti hutang domestik dan pengeluaran deposit oleh bukan pemastautin.

Sementara itu, katanya dasar kadar pertukaran Malaysia yang fleksibel akan terus membolehkan ekonomi mengatasi kejutan luaran.

"Ringgit telah memainkan peranan utama sebagai penyerap kejutan untuk memastikan kejutan luaran tidak membawa kepada gangguan dalam aktiviti ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menghadapi beberapa aliran keluar modal yang besar dan penyusutan ringgit yang ketara, tetapi ekonomi terus berkembang dan pasaran terus beroperasi dengan baik," katanya.

Katanya rizab Malaysia yang mencukupi, berjumlah US$103.9 bilion sehingga 31 Julai, 2019, akan dapat menyediakan ekonomi dengan penampan untuk menangani kejutan luaran.

Beliau berkata semua ini, dengan pasaran buruh negara yang baik, akan terus mengukuhkan asas Malaysia. - Bernama