Bila pemimpin sepakat, rakyat lega

No Image Caption
A
A
A

BERMINGGU-minggu media melaporkan isu perpaduan yang makin lama makin teruk seolah-olah negara sedang dilanda garuda!

Daripada isu tulisan jawi, hentaman terhadap pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik sehingga kepada kes kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi baru-baru ini, menjadi topik yang menjurus kepada keresahan kaum.

Kemudian, seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin pula menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan di blognya, Yew Yin meminta kerajaan menyemak semula senarai penjawat awam serta memecat pekerja tidak diperlukan. Antara yang dibangkitkan ialah peranan Angkatan Tentera Malaysia dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Selepas itu, media melaporkan Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Syahredzan Johan menerima ugutan bunuh daripada seorang pengguna media sosial dipercayai susulan kenyataan dikeluarkan berkaitan Dr Zakir.

Di kala gundah gulana itu, siaran Sinar Live semalam yang menjemput pemilik akaun Facebook Ulasan Apek Cina atau nama sebenarnya, Zee How Tai agak meredakan keadaan.

Dalam temu bual itu, How Tai meminta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum agar membuang perasaan prejudis antara satu sama lain.

Selang beberapa jam, keempat-empat pimpinan utama Pakatan Rakyat (PH) mengeluarkan kenyataan bersama supaya semua pihak mengetepikan retorik yang merosakkan perpaduan dan menyanggah polemik yang berniat membinasakan negara.

Artikel Berkaitan:

Bait ayat itu: “Marilah kita menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melipat gandakan usaha memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara makmur, dihormati dan disegani oleh semua,” amat menyentuh hati.

Akhirnya pimpinan negara bersetuju untuk mengetepikan perbezaan pendapat dan mengutamakan perpaduan rakyat tatkala kita bakal menyambut Hari Merdeka ke-62 dan Hari Malaysia ke-56 tahun ini.

Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu!