Mayat wanita lemas ketika berkayak dibawa pulang ke Singapura esok

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
A
A
A

CHUKAI - Mayat mendiang Puah Geok Tin, 57, wanita warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak di Mersing, Khamis lepas, akan dibawa pulang keluarganya ke Singapura pagi esok.

Anak bongsu mendiang, Louis Pang, 24, berkata mayat mendiang telah melalui proses bedah siasat pasukan forensik Hospital Kemaman kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, dan selesai pada 3.30 petang.

"Saya dan keluarga mungkin akan bawa pulang mayat ibu (mendiang) awal pagi esok untuk mengelak perjalanan malam yang kurang selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kemaman.

Katanya masih terdapat beberapa proses dokumentasi yang perlu disiapkan sebelum mayat mendiang boleh dibawa balik ke negara asal.

Louis turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua pihak yang terlibat, membantu memudahkan segala urusan mencari dan membawa pulang mendiang ibunya ke Singapura.

Khamis lepas, Puah, 57, dan Tan Eng Soon, 62, kedua-duanya warga Singapura, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang, selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing, berikutan laut bergelora dan angin kuat. -Bernama

Artikel Berkaitan: