Pihak sekolah mohon maaf, terlepas pandang kes buli

Laporan Sinar Harian Online semalam.
A
A

ALOR SETAR - Sebuah sekolah di Ayer Hitam, Jerlun, di sini, memohon maaf berikutan dipercayai terlepas pandang kes buli melibatkan murid darjah tiga sekolah tersebut.

Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, guru besar sekolah terbabit turut berjanji akan menyelesaikan secara bijaksana dan berhemah secepat mungkin dalam menangani kes itu.

Dr Salmee berkata, bagaimanapun tindakan lanjut akan diambil selepas menerima hasil siasatan dilaksanakan polis terlebih dahulu.

"Guru besar sekolah berkenaan memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu pada Selasa lepas bahawa waris ataupun guru sekolah tidak melaporkan kes buli ini kepadanya.

"Bagaimanapun, mangsa dipercayai ada membuat aduan berkaitan murid lain yang melakukan perbuatan buli dengan cara meminta duit dan mengejek kepada cikgu Bahasa Melayu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu guru terbabit telah mengambil tindakan dengan memberi amaran dan menasihati murid itu demi memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Kemudiannya, guru kelas memaklumkan kepada guru besar termasuklah maklumat berhubung mangsa dimasukkan ke wad akibat masalah saraf dan tulang belakang apabila kes itu timbul," katanya.

Salmee berkata, antara maklumat diberikan ialah berkaitan laporan doktor yang mengesyaki masalah tulang belakang dialami mangsa disebabkan kecederaan lama akibat jatuh atau hentakkan.

Beliau berkata, tindakan awal pastinya diambil jika guru besar mengetahui lebih awal kejadian berkenaan demi memastikan ia tidak berulang.

"Guru besar sekolah berkenaan berjanji akan berjumpa dengan waris untuk menyelesaikan kes ini secepat mungkin selepas ini.

"Bagaimanapun, pihaknya akan berbuat demikian selepas siasatan selesai demi menghormati permintaan waris untuk menyerahkan siasatan kepada pihak polis. Waris mangsa juga turut berjanji untuk memberi kerjasama dengan membantu pihak sekolah menjalankan siasatan selepas dihubungi," katanya.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah menerima semua maklumat dan laporan awal kejadian daripada PPD Kubang Pasu dan menunggu siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak dikenali sebagai Angah,9, didakwa sering dibuli tiga murid lain sejak 2018 sehingga mengalami masalah tulang belakang dan menggunakan kerusi roda.

Mangsa yang merupakan murid tahun tiga sekolah rendah di Ayer Hitam, Jerlun itu mendakwa diperas ugut meminta wang saku dan ditendang di bahagian belakang dan paha.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid dibuli sehingga berkerusi roda