Mayat wanita berjaket keselamatan ditemui terapung

Mayat wanita yang ditemui tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman kira-kira kam 4.45 petang tadi.
Mayat wanita yang ditemui tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman kira-kira kam 4.45 petang tadi.
A
A
A

KEMAMAN – Mayat seorang wanita yang berpakaian lengkap dan menyarung jaket keselamatan ditemui terapung kira-kira 5.4 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman kira-kira jam 12 tengah hari tadi oleh dua nelayan tempatan yang melalui lokasi penemuan untuk menangkap ikan.

Nelayan terbabit, Ahmad Fasri Ariffin, 50, berkata, dia terkejut melihat mayat itu dalam keadaan terapung selepas botnya mengelak dari sebuah kapal yang turut melalui lokasi kejadian.

"Saya nampak ia terapung dalam keadaan terlentang dan cepat-cepat angkatnya masuk ke dalam bot.

"Sebelum jumpa mayat ni saya sempat pasang pukat dua kali," katanya.

Katanya, dia kemudian bertindak menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan melaporkan mengenai penemuan mayat berkenaan bagi mendapatkan bantuan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada nelayan terbabit dan juga melalui APMM.

Menurutnya, beberapa anggotanya bergegas ke lokasi kira-kira jam 2.05 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi berkayak: Mayat wanita warga Singapura ditemukan

Artikel Berkaitan:

"Mayat itu dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kemaman di Bukit Kuang dan tiba kira-kira jam 4.45 petang tadi, kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan tindakan selanjutnya," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini polis tidak dapat mengesahkan sama ada mayat berkenaan adalah seorang daripada dua warga Singapura yang hilang di laut ketika berkayak sejak Khamis lalu sehinggalah bedah siasat selesai dilakukan.

Dalam insiden Khamis lalu, kayak yang dinaiki dua warga Singapura hilang selepas terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing kira-kira jam 5.40 petang.

Semalam sebuah kayak dan barangan peribadi yang dipercayai milik dua warga Singapura berkenaan ditemui di perairan Tanjung Gelang, Kuantan kira-kira jam 12.30 tengah hari.