Tingkat kesedaran masalah pendengaran

A
A

Skop

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, populasi pesakit yang mempunyai masalah pendengaran dijangka semakin meningkat. Menjelang tahun 2050, lebih 900 juta orang atau satu daripada 10 orang akan mengalami masalah pendengaran.

VINCENT (kiri) menyerahkan replika cek kepada penerima bantuan pendengaran kepada wakil Pusat Jagaan Rumah Orang Tua sambil disaksikan oleh Alleya (tiga dari kanan).
VINCENT (kiri) menyerahkan replika cek kepada penerima bantuan pendengaran kepada wakil Pusat Jagaan Rumah Orang Tua sambil disaksikan oleh Alleya (tiga dari kanan).

Di Malaysia, biarpun lazimnya masalah itu akan dihidapi semua golongan namun statistiknya lebih terarah kepada warga emas. Dianggarkan 3.8 juta atau 30 peratus golongan tersebut berdepan dengan kemelut itu daripada pelbagai tahap. Namun begitu, hanya 4.4 peratus yang dirawat dan memakai alat pendengaran.

Untuk kanak-kanak pula, satu atau dua daripada 1,000 kanak-kanak mempunyai masalah pendengaran telah memakai alat bantu pendengaran dan dirawat seawal yang mungkin.

Sedar akan pentingnya ilmu pengetahuan itu, Soundlife Hearing telah menganjurkan program tanggungjawab korporat iaitu Hope for Hearing Project bermula Mac lalu.

Melalui program itu, 16 unit alat bantu berjumlah RM92,800 akan didermakan kepada individu yang mempunyai masalah pendengaran.

Program berkenaan telah ditaja oleh Kumpulan Swiss Medicare dengan kerjasama pengilang alat bantu pendengaran, Phonak Malaysia dan Crazy Ants Academy. Objektifnya memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada yang memerlukan.

Menurut Pengasas Soundlife Hearing dan pakar pemulihan pendengaran berpengalaman, Alleya Cheng, matlamat acara itu dilaksanakan adalah bagi menggalakkan kesedaran kesihatan pendengaran.

"Saya berharap pengunjung yang hadir memahami informasi pendengaran secara lebih terperinci terutamanya dari segi emosi, kognitif, sensori dan pengalaman yang menarik melalui aktiviti kempen," kata Alleya sempena karnival kempen Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama wakil pengedar produk Phonak, Pengarah Swiss Medicare Sdn Bhd, Vincent Cheong.

Terdapat lima unit alat bantu pendengaran yang masih tersedia untuk didermakan. Maklumat lanjut mengenai Hope for Hearing Project, layari https://www.soundlife.com.my/hope-for-hearing-project.

Untuk keterangan lebih lanjut berkenaan Karnival Pendengaran pula, orang ramai boleh menyemak maklumat menerusi https://www.facebook.com/soundLIFEhearing.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia