Pemimpin usah pandang sepi suara rakyat

A
A

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah terpahat dalam sejarah politik negara. Ia adalah satu-satunya PRU yang penuh dengan drama, kejutan lagi mendebarkan.

Sesiapa mahu menjadi ahli politik, harap ambillah iktibar daripada episod PRU14. Dalam sekelip mata, pemimpin yang berkuasa boleh hilang pangkat, kedudukan, kemewahan dan sanjungan.

Turun naik seseorang pemimpin hanyalah lumrah dalam dunia politik. Ketika berkuasa, mereka disanjung bagaikan ‘hero’. Tetapi hilang kuasa, terus menjadi ‘zero’.

PRU14 menyaksikan era pemerintahan Barisan Nasional (BN) berakhir setelah ditumbangkan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH). Daripada pelbagai analisis dan kajian, BN sudah pasti tahu punca kekalahan mereka.

Melalui kertas undi, BN terpaksa menerima hakikat bahawa rakyat telah menolak mereka. Inilah kehebatan suara rakyat. Rakyat penentu segala-galanya. Pemimpin mana yang patut menang atau kalah, rakyat bijak menilainya.

Bagi kerajaan PH yang baharu menjadi kerajaan sejak 15 bulan yang lalu, beringatlah selalu. Sejak hari pertama menubuhkan kerajaan iaitu pada 9 Mei 2018, sudah kedengaran pelbagai rungutan, rintihan dan dakwaan yang kurang enak dilemparkan kepada mereka.

Barangkali semua tuduhan itu ada kebenarannya. Jadi sebagai pemimpin lebih-lebih lagi sebagai menteri ataupun wakil rakyat, ambil beratlah masalah rakyat.

Jika tidak, nasib mereka akan menjadi seperti kata-kata kebanyakan orang, jadi kerajaan sepenggal.

Sebenarnya masih ada masa untuk memperbaiki keadaan. Yang penting, kerjalah bersungguh-sungguh untuk rakyat dan negara. Rakyat tidak mahu dengar lagi alasan, “itu silap kerajaan lama”.

Jangan buat pekak bila rakyat bersuara. Kalau tidak, bersedialah terima hukuman ketika tiba masanya nanti!