Masjid Bandaraya Kota Kinabalu lokasi utama Malaysia #QuranHour di Sabah

Noorazlinah (kiri) bersama Pengarah Jakim Cawangan Negeri Sabah, Norjeli Dais.
Noorazlinah (kiri) bersama Pengarah Jakim Cawangan Negeri Sabah, Norjeli Dais.
A
A
A

SHAH ALAM - Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah dipilih sebagai lokasi utama pelaksanaan program Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Penyelaras Rumah Ngaji Sabah, Noorazlinah Awang, 33, berkata, program anjuran kali kedua itu akan berlangsung selama satu jam dan diketuai oleh qari negeri Sabah yang cacat penglihatan, Muhammad Fiqri Muhammad Fahmi.

Menurutnya, persediaan menjelang program Malaysia #QuranHour giat dijalankan dan turut mendapat kerjasama daripada semua institusi agama di Sabah termasuk Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cawangan Sabah.

Sebahagian daripada peserta di Rumah Ngaji Baitul Muqaddam di Kampung Gudon, Sepanggar.
Sebahagian daripada peserta di Rumah Ngaji Baitul Muqaddam di Kampung Gudon, Sepanggar.

“Pihak Rumah Ngaji Sabah mengharapkan kehadiran seramai mungkin masyarakat Islam di sini untuk bersama-sama menghayati intipati 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah al-Kahfi sebagai benteng kekuatan umat Islam di akhir zaman.

“Pemilihan surah al-Kahfi sebagai tema program Malaysia #QuranHour dan berlangsung sehari sebelum kemerdekaan sangat tepat kerana surah ini mengisi semangat kemerdekaan berbekalkan pesanan daripada al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut berkongsi mengenai idea untuk menggerakkan Rumah Ngaji Sabah yang tercetus pada 2015 setelah pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff di Tuaran selepas program bersama Ustaz Nouman Ali Khan.

Artikel Berkaitan:

Rumah Ngaji Impian di Tawau.
Rumah Ngaji Impian di Tawau.

Noorazlinah berkata, masyarakat Sabah amat dahagakan ruang dan tempat untuk belajar membaca, seterusnya memahami al-Quran secara percuma.

“Rumah Ngaji di Sabah telah beroperasi di beberapa daerah antaranya Rumah Ngaji Baitul Muqaddam di Sepanggar, Rumah Ngaji Ar Raudhah di Putatan, Rumah Ngaji Sumayyah di Sipitang, Rumah Ngaji Ummie dan Rumah Ngaji Impian di Tawau, Rumah Ngaji @ Hikmah Training Center Inanam, rumah-rumah Ngaji yang digerakkan oleh Majlis Permuafakatan Ibu Bapa (Mapim) di Sandakan dan Rumah Ngaji Madrasah Darus Sunnah @ Pulau Jambongan, Sandakan.

“Tenaga pengajar dan penggerak rumah ngaji ini adalah golongan ustaz dan ustazah warga tempatan, manakala pelajar pula terdiri dalam kalangan ibu-ibu dan remaja dari kawasan sekitar,” katanya.

Mengulas lanjut, Noorazlinah berkata, Rumah Ngaji di Sabah memerlukan sokongan dan bantuan kewangan bagi membolehkan pengajian percuma dapat diberikan kepada masyarakat Islam di negeri berkenaan.

Suasana anak kecil mengaji di Rumah Ngaji Ummie di Tawau.
Suasana anak kecil mengaji di Rumah Ngaji Ummie di Tawau.

Tambahnya, Rumah Ngaji Sabah konsisten menganjurkan program-program dan kempen mengajak masyarakat Sabah agar dapat membudayakan Baca, Faham dan Amal al-Quran di dalam kehidupan.

“Antaranya seminar Sinopsis 114 Surah Al-Quran, seminar Ibrah Juzuk Amma, Program Cara Mudah Faham Quran untuk pelajar sekolah menengah, program i-Solat untuk pelajar sekolah rendah, seminar masuk syurga sekeluarga serta siri World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour.

“Bahkan Sabah #QuranHour telah dijadikan program tahunan sempena sambutan tahun baru bermula 2018,” katanya.