X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu Perak ajak rakyat tolak kempen Dong Zong

Mohd Hafez Mubin
A
A

IPOH - Rakyat negara ini perlu menolak kempen daripada Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bagi mengumpulkan tandatangan membantah pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular di negara ini.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, kempen berkenaan dilihat seperti cuba memainkan sentimen rasis sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini terutama apabila segala agenda pendidikan negara sebelum ini telah ditolak oleh Dong Zong.

Malah menurutnya, sejak kebelakangan ini pembelajaran tulisan jawi dan seni khat di sekolah menjadi isu hangat dalam kalangan rakyat dan ramai yang bersetuju kerana tulisan jawi adalah warisan negara.

“Penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu satu ketika dahulu juga perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi; contohnya koleksi warkah Francis Light Muzium Perpustakaan British, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874 dan pemasyhuran Kemerdekaan 1957, semuanya dalam tulisan jawi.

“Namun, hari ini ada beberapa pihak terutamanya Dong Zong yang tidak bersetuju dan menghasut rakyat untuk menolak pembelajaran tulisan jawi dan khat ini. Alasannya, ini adalah salah satu agenda Islamisasi.

"Mereka ini punca kepada perpecahan kaum di Malaysia terutamanya dalam isu pendidikan. Pendidikan seharusnya menyatukan, bukan memecah-belahkan.

“Saya tidak akan menjadi lebih Islam dengan mempelajari jawi. Saya tidak akan menjadi Buddha atau Kristian dengan mempelajari tulisan Cina. Apek Lau tidak akan menjadi Islam dengan hanya mempelajari jawi. Mengapa? Kerana itu adalah seni tulisan bukan dakyah agama,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen desak Dong Zong diharamkan terus catat peningkatan

Sementara itu Mohd Hafez Mubin berkata, budaya rasis ini tidak akan bawa negara ke hadapan.

Justeru katanya, pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan mahupun digaul dengan sifat-sifat perkauman atau elemen agama kerana pendidikan adalah tonggak utama dalam pembangunan sesebuah negara.

“Pendidikan harus berada di tengah, memastikan kebenaran atau fakta yang menjadi sumber rujukan setiap rakyat. Kegagalan dalam sistem pendidikan mampu menghancurkan negara.

"Oleh itu, agenda pendidikan negara perlu berteraskan kepada acuan negara itu sendiri kerana jati diri negara itu penting dalam membentuk rakyat yang cinta kepada negara.

“Bagaimanapun Kit Siang (Lim) pula dilihat mempertahankan Dong Zong. Saya nak tanya Kit Siang, apakah Kit Siang bersekongkol dengan Dong Zong dalam isu ini?

"Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa, perlu menolak sekeras-kerasnya Dong Zong ini,” katanya.