Pas saran PM rombak Kabinet: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan konflik ketegangan yang dicetuskan oleh DAP dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) adalah masa tepat untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melakukan rombakan Kabinet.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan wajar mengambil tindakan tegas untuk menggugurkan mana-mana Menteri yang tidak mahu mempertahan keputusan rasmi kerajaan dan mementingkan kepentingan rakyat Malaysia.

"Saya berpendapat inilah masa yang terbaik untuk Perdana Menteri mengambil keputusan drastik merombak Kabinet dan menggugurkan mana-mana menteri yang tidak mahu mempertahan keputusan rasmi kerajaan dan mementingkan kepentingan rakyat Malaysia.

"Kerajaan juga mesti mengambil tindakan tegas terhadap Dong Zong yang sengaja bermain sentimen perkauman untuk menjejaskan keharmonian kaum," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan gesaan ini dibuat susulan sikap biadab DAP dan Dong Zong yang berterusan menggasak kerajaan untuk mengkaji semula keputusan penting yang telah ditetapkan.

"Maka saya menuntut pihak kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka. Sikap biadab yang ditunjukkan oleh mereka pasti akan menjejaskan keharmonian kaum dan kestabilan politik negara.

"Saya juga sangat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri semalam yang melabelkan Dong Zong sebagai rasis. Dong Zong bertegas dan hanya mahu pihak kerajaan mengikut telunjuk mereka. Oleh sebab itu, DAP akan mengemukakan sekali lagi usul untuk menilai kembali pelaksanaan khat dan tulisan jawi dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu)," jelas Tuan Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN: Kit Siang kata Dr Mahathir salah label Dong Zong rasis

Tambahnya, DAP dan Dong Zong memanipulasi sentimen perkauman dan gagal melihat isu ini daripada perspektif rakyat Malaysia.

"Contohnya, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat keputusan untuk meneruskan pengenalan tulisan khat dengan pengubahsuaian setelah mengambil kira kepentingan semua pihak, namun mereka tetap tidak bersetuju dan menganggap ini adalah agenda Islamisasi.

"Terbaharu, Ahli Parlimen Kluang (DAP) mengaitkan tulisan jawi dengan buku lucah sangat melampau. DAP hanya mencetuskan amarah orang Melayu Islam tanpa mahu memahami dengan jujur susur galur tulisan jawi yang merupakan sebahagian daripada warisan kepentingan negara," ujarnya.

Sebelum ini juga, Kerajaan Selangor telah menukar tulisan jawi di papan tanda sekitar Shah Alam dengan tulisan Cina.