Kit Siang kata Dr Mahathir salah label Dong Zong rasis

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis adalah tidak benar.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menegaskan Dong Zong juga salah apabila mendakwa tindakan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk gerakan Islamisasi.

“Dr Mahathir salah menggelarkan Dong Zong sebagai rasis, tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan khat bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun 4 di Sekolah Cina dan Tamil bermula 2020 sebagai permulaan Islamisasi.

“Kedua-dua insiden itu menimbulkan salah tafsir untuk perlaksanaan pembelajaran tulisan khat berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kit Siang juga berkata, terdapat 'teori konspirasi' bahawa isu yang menjadi kontroversi itu dicipta oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atau Perdana Menteri bagi tujuan politik tertentu.

"Namun sebenarnya, kontroversi subjek itu adalah warisan dari kerajaan lama kerana keputusan muktamad mengenai buku teks baharu untuk sekolah rendah Cina dan Tamil untuk memperkenalkan subjek khat berkenaan telah dibuat oleh Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan dan dua Timbalan Menteri pendidikan dalam satu mesyuarat pada 30 September 2015.

"Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching hanya tahu tentang perkara itu ketika kontroversi berkenaan meletup bulan lalu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PM anggap Dong Zong rasis

Artikel Berkaitan:

Semalam, Dr Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis apabila sering membantah setiap dasar pendidikan negara termasuk usaha memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat di sekolah.

Menurutnya, sebelum ini pertubuhan itu turut membantah penubuhan sekolah wawasan yang menghimpunkan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dalam satu kawasan.

Dr Mahathir berkata, bantahan Dong Zong itu adalah disebabkan mereka enggan anak-anak mereka bercampur dengan orang Melayu.

Dong Zong sebelum ini merancang mengadakan petisyen terbaru bagi membantah pengajaran khat jawi di sekolah vernakular.

Pengerusinya, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, petisyen itu yang akan turut disokong kumpulan pendidikan Tamil, dibuat berdasarkan ‘penyelidikan beberapa orang cendekiawan dan pakar kesusasteraan' yang menunjukkan bahawa khat jawi digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.

Tan berkata, pihaknya tidak boleh menerima sekiranya murid bukan Islam diperkenalkan kepada khat, yang merupakan pelanggaran hak perlembagaan mengenai agama.