Tangkap ikan guna bahan letupan!

Hasil tangkapan yang diperolehi. Gambar kanan: Gambar yang menunjukkan aktiviti letupan dilakukan oleh beberapa individu di sungai di sebuah sungai dalam hutan. (Gambar kecil: Azahari)
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang kini sedang menyiasat satu klip video yang memaparkan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan yang tular di laman sosial beberapa hari lalu.

Klip video berdurasi dua minit, 54 saat itu merakam kelibat beberapa lelaki yang sedang melakukan aktiviti tangkapan ikan menggunakan bahan letupan.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman berkata, perbuatan terbabit dipercayai dilakukan oleh sekumpulan remaja di sungai kecil yang terletak di dalam kawasan hutan.

Menurutnya, bagaimanapun lokasi tersebut masih belum dapat dikenalpasti oleh pihaknya dan siasatan lanjut akan dijalankan segera.

“Saya sudah melihat video kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan terbabit namun tidak dapat pastikan lokasi kejadian, bahasa percakapan individu terbabit dipercayai bukan dari negeri ini.

“Tetapi saya akan menunggu hasil siasatan bahagian penguatkuasaan jabatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azahari berkata, penggunaan bahan letupan adalah dilarang dalam Peraturan Perikanan (Sungai) 1991 Pahang.

Katanya, pihak yang terbukti melakukannya boleh didakwa serta dikenakan kompaun, peralatan digunakan turut akan dirampas.

“Jumlah kompaun antara RM500 hingga RM5,000 boleh dikenakan pada individu yang terbukti melakukan kegiatan menyalahi undang-undang itu.

“Hukuman berkenaan sebagai pengajaran atas kesalahan dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan.

Jelasnya, setiap kesalahan dilakukan ada hukuman ditetapkan.

Sehubungan itu, Azahari berkata, bahagian penguatkuasaan Jabatan Perikanan Pahang kini sedang meneliti klip video yang memaparkan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan, tangkapan akan dilakukan apabila terdapat bukti kukuh.

Sehubungan itu, beliau berkata,sebelum ini pihaknya berjaya menyelesaikan beberapa kes membabitkan kesalahan menangkap ikan yang di muat naik dalam media sosial.

Katanya, kejayaan itu menerusi kerjasama pihak tertentu dapat membantu mengesan pihak terbabit yang berharap masyarakat dapat memberi kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kes terbabit.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia