Taktik licik seludup 12,000 karton rokok

Wan Fauzi (tengah) menunjukkan rokok dirampas pada sidang media di IPD Kuala Krai di sini hari ini.
Wan Fauzi (tengah) menunjukkan rokok dirampas pada sidang media di IPD Kuala Krai di sini hari ini.
A
A
A

KUALA KRAI - Cubaan tiga lelaki menyeludup 12,000 karton rokok bernilai RM300,000 pada musim perayaan ini gagal apabila lori mereka ditahan di Bukit Batu jam 7.45 pagi, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, suspek mengambil peluang kesesakan jalan raya dengan menggunakan laluan alternatif bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bagaimanapun taktik mereka gagal apabila ditahan pasukan peronda yang curiga dengan kedua-dua lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Wakaf Che Yeh ke Gua Musang.

"Kita percaya rokok jenis Cravis ini dibawa ke Gua Musang untuk pasaran warga asing yang kebanyakan bekerja di ladang-ladang sekitar daerah itu berikutan ia jarang digunakan masyarakat setempat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.

Wan Fauzi berkata, rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran Thailand dan ditinggalkan di beberapa lokasi sebelum dibawa ke Gua Musang.

"Susulan itu polis menahan reman tiga lelaki berusia 54, 25, dan 22 tahun selama empat hari bermula Sabtu lalu.

"Hasil siasatan mendapati dua daripada suspek yang juga pemandu kedua-dua lori mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan: