Malaysia dipilih untuk kempen 'Green Haj' di Mina

 - Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

MAKKAH - Maktab 80, sebuah daripada sembilan maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia, dipilih kerajaan Arab Saudi untuk kempen Green Haj di Mina di sini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata kempen itu bertujuan menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan maktab jemaah haji dengan mengasingkan barang terbuang.

"Green Haj ini suatu usaha kerajaan Arab Saudi dikendalikan pihak Muassasah Asia Tenggara dan tahun ini mereka memilih beberapa maktab sebagai maktab contoh kepada Green Haj ini iaitu Maktab 80 mewakili Malaysia, empat lagi maktab Indonesia.

"Saya harap jemaah haji Malaysia sebelum meninggalkan Mina, mereka dapat membersihkan khemah mereka dengan sebersihnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran Kempen Kebersihan Masyair di Mina di sini yang turut dihadiri Ketua Muassasah Asia Tenggara Sheikh Emad Fatani dan Rais Maktab 80 Ali Hussin Bondagjji.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas Lembaga Tabung Haji.

Syed Saleh berkata Kempen Kebersihan Masyair yang dilaksanakan Malaysia sejak tahun lepas akan menjadi tambah nilai kepada kempen Green Haj itu.

"Memberi tambah nilai kepada konsep rahmatan lil alamin ini yang bukan sahaja kita jaga kebersihan diri kita, kebersihan beri rahmat kepada haiwan dan persekitaran kita," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: