Greenfield Residence: pembangunan lestari gaya resort

A
A

DALAM kehidupan yang serba pesat pada masa ini, segala-galanya bergerak dengan pantas. Seolah-olah setiap orang mengejar akan sesuatu.

Justeru, setelah selesai tugasan harian yang sesak dengan hambatan waktu dan kesibukan kerja, saat pulang ke rumah merupakan waktu paling eksklusif untuk berehat bersama keluarga dan insan tersayang.

Menyedari keperluan sebegini, Cicet Asia Development Sdn Bhd (Cicet Asia) menawarkan suasana damai dan menenangkan seolah-olah berada dalam percutian di sebuah resort menerusi pembangunan kediaman lestarinya, Greenfield Residence.

Greenfield Residence merupakan mercu tanda terbaharu kehidupan resort dengan gaya hidup mewah terletak di perbandaran matang di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor yang dikelilingi pelbagai kemudahan infrastruktur seperti pusat membeli-belah, universiti, hospital, pengangkutan dan jaringan jalan raya yang menghubungkan ke bandar-bandar utama di Lembah Klang.

Ketua Projek Cicet Asia memberitahu, projek pembangunan utama dan yang pertama itu dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 2 hektar dan kini telah pun memasuki 65 peratus siap.

"Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM580 juta, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2021.

"Kejayaan syarikat dalam melengkapkan kerangka struktur Greenfield Residence dalam tempoh ditetapkan ialah bukti komitmen Cicet Asia dalam menyampaikan produk berkualiti dan cemerlang,” katanya selepas majlis meletakkan struktur tertinggi kediaman itu di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, Greenfield Residence kini telah mencapai garis masa pembinaan bersama kualiti yang konsisten, memenuhi standard keselamatan tapak dengan memberi penekanan terhadap ciri-ciri hijau.

Mesra keluarga

Greenfield Residence dibina berkonsepkan mesra keluarga dan pembangunan hijau. Ia dibangunkan di lokasi strategik dengan memiliki akses perhubungan terbaik yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Pembangunan itu mempunyai tiga menara setinggi antara 34 hingga 36 tingkat. Dua blok menara A dan B telah dilancarkan pada Mei 2017. Manakala Menara C dilancarkan pada April lalu, kini telah dibuka untuk pendaftaran.

Pembangunan lestari itu merangkumi sebanyak 816 unit kediaman dan 23 pusat peruncitan.

Setiap unit ditawarkan dengan keluasan bermula 581 kaki persegi sehingga 1,302 kaki persegi dilengkapi antara dua bilik tidur dan satu bilik air serta empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Harga jualan bermula daripada RM430,000.

Menurut Swee Ee, sehingga kini unit-unit kediaman di Menara A telah habis dijual, sementara Menara B mencapai 85 peratus dan Menara C yang dilancarkan pada akhir bulan April lalu telah mencapai kadar pembelian yang positif,” katanya.

"Majoriti pembeli bagi menara A dan B ialah dari Lembah Klang seperti Subang, Bandar Sunway, Puchong, Klang dan Kuala Lumpur.

"Pelanggan amat tertarik dengan konsep yang kami ketengahkan iaitu mesra keluarga, lokasi yang strategik, harga berpatutan dan kemudahan akses ke bandar utama,” katanya.

Kemudahan eksklusif

Dibina di atas tanah dengan keluasan hampir 2 hektar, pembangunan baharu itu turut dilengkapi sebuah taman rekreasi seluas 0.8 hektar.

Ia juga mematuhi Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang memaparkan 48 peratus kehijauan di sekelilingnya.

Menariknya, Cicet Asia turut melengkap Greenfield Residence dengan 34 kemudahan eksklusif dalam enam tema.

"Kemudahan-kemudahan ini termasuk sebuah kolam infiniti sepanjang 50 meter, dek matahari, jakuzi, zon bunga pelbagai warna, laluan bunga merah jambu.

"Selain itu, kediaman ini dilengkapi dengan sistem keselamatan pelbagai peringkat, laluan joging yang mengelilingi sebuah podium rekreasi dan gimnasium terapung yang terletak di aras sembilan,” katanya.

Tidak perlu pergi jauh, penghuni Greenfield Residence juga boleh menikmati pemandangan indah dari taman langit pada aras yang lebih tinggi.

Podium peruncitan

Bagi memberi lebih kemudahan kepada penghuninya, Cicet Asia turut menyediakan 23 unit pusat peruncitan berdekatan dengan menara-menara kediaman dan mudah diakses di aras jalan.

Keluasan unit-unit berkenaan kira-kira 800 kaki persegi ke atas. Setiap unit memaparkan siling yang tinggi dengan ruang letak kereta yang luas di bahagian depan, menjadikannya sesuai bagi pelbagai perniagaan gaya hidup.

"Podium peruncitan merupakan sebahagian daripada keprihatinan dalam perancangan syarikat. Kami mahu mewujudkan sebuah platform yang kondusif bagi setiap penghuni dan penduduk sedia ada di Bandar Sunway untuk menjamu selera, bersantai dan bermain.

"Kami tidak menyasarkan perniagaan spesifik dibuka di sini, malah mengalu-alukan penglibatan pelbagai rakan niaga yang berkualiti,” katanya.

Jaringan jalan raya terbaik

Terletak di lokasi strategik berdekatan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di Sunway Mentari, Greenfield Residence menawarkan kemudahan rangkaian pengangkutan utama.

Ia turut dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya seperti Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Kediaman eksklusif itu turut terletak berhampiran laluan transit aliran bas (BRT) yang merupakan sebahagian daripada Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang.

"Pembangunan kehidupan resort ini juga terletak berdekatan Taman Tema Sunway Lagoon, Kelab Golf Negara Subang, Sunway Pyramid, Empire Subang, Subang Parade, Taman Rekreasi Subang Ria," katanya.

Tambahnya, perkhidmatan bas pengantara percuma bakal disediakan bagi penduduk untuk ke kawasan berdekatan.

Perkhidmatan berkualiti unggul

Cicet Asia bermula sebagai sebuah syarikat berasaskan kejuruteraan yang telah bekerjasama dengan 10 syarikat pemaju utama di negara ini.

Penyerahan projek dan perkhidmatan yang berkualiti unggul telah membawa syarikat menerima pelbagai anugerah yang disampaikan oleh pelanggannya yang terkenal seperti Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia), SP Setia Berhad, Kumpulan IOI Properties Berhad dan Gamuda Berhad.

Portfolio kukuhnya merangkumi lebih 60 hartanah mewah termasuk komponen kediaman dan komersial di samping infrastruktur awam.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia