Sambutan Aidiladha Kashmir suram

Penduduk di Srinagar terpaksa membeli barangan yang dijual peniaga jalanan selepas kebanyakan kedai di bandar utama J&K itu ditutup sejak kawalan keselamatan diperketatkan.
Penduduk di Srinagar terpaksa membeli barangan yang dijual peniaga jalanan selepas kebanyakan kedai di bandar utama J&K itu ditutup sejak kawalan keselamatan diperketatkan.
A
A
A

NEW DELHI - Sambutan Aidiladha di wilayah Kashmir ditadbir India suram ekoran penduduknya berdepan sekatan ketat selepas New Delhi membatalkan status khas autonomi dan menguatkuasakan perintah berkurung yang tidak jelas sejak lapan hari lalu.

Sehingga hari ini, perkhidmatan internet dan komunikasi masih disekat di Jammu dan Kashmir (J&K) yang didiami majoriti orang Islam.

Media melaporkan pihak berkuasa bagaimanapun membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan di masjid di kawasan kejiranan sekitar, namun ia melarang jemaah dalam jumlah yang ramai kononnya untuk mengelakkan protes anti-India selepas banyak pihak membantah keputusan unilateral dibuat New Delhi dengan menghapuskan Artikel 370 pada minggu lalu.

Jumaat lalu, sekatan juga dilonggarkan bagi membolehkan penduduk menunaikan solat Jumaat selain dibenarkan membuat persiapan sempena Aidiladha.

Bagaimanapun, penduduk hanya diberikan masa singkat untuk membeli-belah di Srinagar kerana sebuah jip yang dipasang sistem pembesar suara dilihat mengelilingi bandar utama itu selepas waktu tengah hari mengarahkan orang ramai kembali ke rumah masing-masing dan peniaga turut diminta menutup kedai mereka.

Difahamkan, sekatan ketat itu dikuatkuasakan semula selepas satu protes kecil tercetus, namun pihak berkuasa menafikan ada pertempuran tercetus di lembah tersebut.

Kawalan keselamatan yang ketat itu menyebabkan ramai yang takut untuk meraikan Aidiladha pada tahun ini.

Seorang peniaga kambing biri-biri di pasar Srinagar yang dikenali sebagai Maqbool berkata, jumlah pembeli yang mendapatkan haiwan untuk korban semakin berkurangan pada kali ini, sekali gus menyebabkan kerugian besar.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk di Srinagar akhirnya dapat menghubungi saudara-mara mereka di luar wilayah itu selepas pejabat timbalan pesuruhjaya menawarkan perkhidmatan telefon pada Khamis lalu.

Namun hanya dua telefon bimbit menggunakan talian luar disediakan hingga menyebabkan mereka terpaksa beratur panjang.

Ada yang sanggup beratur sejak awal pagi semata-mata untuk mendaftar nama dan nombor telefon yang mahu dihubungi.

Bagaimanapun, panggilan dan perbualan tersebut hanya dihadkan selama dua minit untuk setiap seorang malah ia turut dipantau anggota separa tentera sepanjang masa. - Agensi