Mangsa maut cedera serius di kepala

Mangsa kemalangan dalam kejadian ribut di Jitra semalam meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa kemalangan dalam kejadian ribut di Jitra semalam meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

ALOR SETAR - Hasil bedah siasat forensik ke atas mangsa yang meninggal semalam di Jitra dalam kejadian kemalangan semasa ribut melanda adalah disebabkan kecederaan serius di kepalanya.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, mangsa meninggal dunia ditempatkan kejadian dan jenazah dibawa ke Hospital Jitra pada jam 9.30 malam dan bedah siasat pula selesai kira-kira jam 12 tengah malam.

"Kesan ribut berkenaan menyebabkan satu kes kematian dilaporkan di daerah Kubang Pasu dan bedah siasat forensik dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Seorang penunggang motosikal, Marziah Che Omar, 27 maut selepas terkena zink yang diterbangkan ribut di hadapan Masjid Sharifah Fatimah, Jitra.

Dr Norhizan
Dr Norhizan

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim menjelaskan ketika mangsa sampai di tempat kejadian, sekeping zink yang diterbangkan angin terkena motosikal ditunggang mangsa.

Mangsa kemudian terjatuh sebelum digilis sebuah kereta yang berada di bahagian belakang motosikalnya.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata, seramai 39 mangsa bencana ribut di Kedah mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sejak semalam membabitkan 23 kes pesakit luar dan 16 dimasukkan ke wad.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa kejadian mendapatkan rawatan di hospital kerajaan iaitu 15 kes di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Langkawi (8), Hospital Jitra (8), Hospital Kulim (4) dan masing dua kes di Hospital Yan dan di Hospital Sik.

Bagaimanapun, sehingga 5 petang tadi 23 pesakit luar dan seorang pesakit di wad disahkan stabil dan dibenarkan pulang manakala 15 kes masih dirawat di wad

"Terdapat satu kes di Hospital Langkawi yang berada dalam keadaan kritikal dan kini dalam proses memindahkannya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut," katanya.

Dr Norhizan berkata, terdapat dua kes pesakit luar dirujuk oleh Klinik Kesihatan Air Hitam, Kedah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kesemua mereka adalah stabil dan dibenarkan pulang.