Ribut: Jumlah sebenar mangsa masih dikenal pasti

Abu Bakar Yahya bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan kawasan terjejas ribut di Jalan Pantai Cenang, Langkawi hari ini.
Abu Bakar Yahya bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan kawasan terjejas ribut di Jalan Pantai Cenang, Langkawi hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Pihak berkuasa masih lagi mengenal pasti situasi kerosakan termasuk jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Langkawi semalam.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, setakat ini pihak berkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah dan Air Hangat sudah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.

"Pada masa sama, proses bantuan awal kepada mangsa sudahpun dilakukan pihak berkuasa sejak malam tadi. Namun, jumlah sebenar mangsa yang terlibat masih belum disahkan setakat ini.

"Saya berharap mangsa yang terjejas akibat kejadian ribut ini dapat tampil membuat laporan kepada polis supaya tindakan susulan termasuk penyaluran bantuan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan tersusun," katanya di sini hari ini.

Abu Bakar (kanan) ketika meninjau keadaan salah sebuah rumah mangsa yang rosak di Jalan Pantai Cenang, Langkawi hari ini. Gambar kanan: Abu Bakar (kanan) melihat kenderaan yang rosak akibat dihempap pokok ketika kejadian ribut malam semalam di Jalan Pantai Cenang, hari ini.
Abu Bakar (kanan) ketika meninjau keadaan salah sebuah rumah mangsa yang rosak di Jalan Pantai Cenang, Langkawi hari ini. Gambar kanan: Abu Bakar (kanan) melihat kenderaan yang rosak akibat dihempap pokok ketika kejadian ribut malam semalam di Jalan Pantai Cenang, hari ini.

Abu Bakar berkata demikian selepas lawatan ke lokasi kejadian ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Air Hangat yang turut dihadiri wakil Peribadi Ahli Parlimen Langkawi, Shukor Bahari dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd Iqbal Ibrahim.

Abu Bakar turut menyeru mana-mana pihak supaya tampil bersama-sama menyalurkan bantuan menerusi Pejabat Ahli Parlimen Langkawi yang boleh dihubungi menerusi talian 04-9611484.

Sebanyak lapan daerah di Kedah dilaporkan dilanda ribut kira-kira jam 8 malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Angin kencang diikuti hujan lebat berlaku di beberapa lokasi sekitar Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Yan, Pendang, Padang Terap, Sik dan Kulim.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus memaklumkan Langkawi antara daerah terjejas teruk, melibatkan enam mukim iaitu Kedawang, Bohor, Padang Mat Sirat, Ayer Hangat, Kuah dan Ulu Melaka.