Kebakaran hutan Bukit Palas padam sepenuhnya

Kebakaran hutan Bukit Palas bermula sejak seminggu lalu. - Foto fail Bernama
Kebakaran hutan Bukit Palas bermula sejak seminggu lalu. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kebakaran Hutan Bukit Palas di Cherating di sini yang bermula sejak seminggu lalu, padam sepenuhnya hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, hujan pagi tadi membantu memadam kebakaran, memandangkan mereka berdepan dengan masalah ketiadaan sumber air terbuka di lokasi kejadian.

Selain itu, pihaknya yang tidak mempunyai akses ke lokasi kebakaran menyebabkan operasi mengawal dan memadam api dilakukan dari ladang kelapa bersebelahan hutan itu.

“Pada awal operasi, bomba membina pemisah api bagi menghalang ia merebak ke kawasan ladang selain menggunakan pam air untuk mengawal kebakaran.

“Setakat malam tadi, hanya tinggal beberapa tompokan kebakaran seluas dua hektar yang akhirnya kebakaran padam sepenuhnya hari ini disebabkan hujan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kebakaran Hutan Bukit Palas disedari pada tengah hari 4 Ogos lalu, oleh pasukan bomba yang melakukan rondaan di kawasan berisiko terbakar di kawasan sekitar Gebeng di sini.

Selain itu, Nor Hisham berkata, pihaknya menerima 59 panggilan berkaitan kebakaran kawasan terbuka dalam tempoh seminggu sejak 2 Ogos lalu, dipercayai akibat cuaca panas.

Menurutnya, Kuantan merekodkan panggilan tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Pekan (11), Rompin (9), Temerloh (6), masing-masing tiga di Bera, Maran dan Bentong, Raub (2) kes serta satu kes di Jerantut dan Lipis. - Bernama

Artikel Berkaitan: