Tragedi berdarah: Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti

Tiga individu termasuk dua wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 95 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur Foto Polis Maran.
Tiga individu termasuk dua wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 95 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur Foto Polis Maran.
A
A
A

MARAN – Identiti tiga individu termasuk dua wanita warga emas yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 95 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur pada Selasa dikenal pasti.

Mereka ialah Masitah Mohd Soad, 59, yang merupakan pemandu Perodua Myvi; penumpangnya, Salbiah Mohamad Sah, 76, serta Muhammad Arif Daniel Mohd Norsha'ari, 20, penumpang belakang Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi itu sedang dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Masjid Kampung Paya Pasir.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi tragedi berdarah, tiga maut kenderaan bertembung

Keadaan dua buah kenderaan yang remuk teruk selepas bertembung dalam kemalangan di Kilometer 95 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur di sini pada Selasa. Foto Polis Maran
Keadaan dua buah kenderaan yang remuk teruk selepas bertembung dalam kemalangan di Kilometer 95 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur di sini pada Selasa. Foto Polis Maran

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan dipercayai gagal dikawal sebelum memasuki laluan Perodua Myvi lalu bertembung secara hadapan.

"Susulan pertembungan itu, sebuah Perodua Kancil yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian kiri Perodua Alza yang berhenti di atas jalan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang Perodua Myvi serta penumpang belakang Perodua Alza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kim Wai menambah, pemandu dan seorang lagi penumpang Perodua Alza mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temerloh untuk menerima rawatan.

Menurutnya, pemandu Perodua Kancil pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaan sehingga memasuki laluan bertentangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Maran, Inspektor Muhaimin Omar di talian 017-9436741 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!