MAHA Pahang 2026 rekod kehadiran 212,989 pengunjung - Exco

KUANTAN - [KEMAS KINI] Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 merekodkan kehadiran 212,989 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM2,643,595.63 juta, sekali gus mengatasi pencapaian penganjuran sulung di Temerloh tahun lalu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, bilangan pengunjung yang direkodkan itu jauh melepasi sasaran awal 100,000 orang.
Menurutnya, nilai jualan juga melepasi sasaran RM1.3 juta, manakala penyertaan usahawan meningkat kepada 220 berbanding jangkaan awal hanya 100 usahawan.
"Pencapaian ini membuktikan sektor pertanian dan agromakanan terus mendapat sambutan serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai salah satu penggerak utama ekonomi negeri," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Penganjuran MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, Dewan Jubli Perak dan Taman Tasik Raub menerima sambutan luar biasa sejak hari pertama dibuka sehingga melabuhkan tirai pada Ahad.

Pameran itu bukan sekadar medan mempamerkan produk pertanian, sebaliknya menjadi platform strategik kerajaan negeri memperkukuh agenda keterjaminan makanan, membangunkan usahawan tani serta merancakkan industri asas makanan.
MAHA Pahang 2026 menghimpunkan sebanyak 220 gerai pameran melibatkan kira-kira 500 produk daripada agensi kerajaan, usahawan dan pemain industri sepanjang program berlangsung.
Mohd Soffi merakam penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor pertanian di negeri ini.
"Terima kasih juga kepada seluruh jabatan, agensi, urus setia, peserta, usahawan, petani, penternak, nelayan, petugas keselamatan dan semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan MAHA Pahang 2026.
"Begitu juga kepada seluruh rakyat dan pengunjung yang hadir memeriahkan acara ini. Kejayaan ini merupakan kejayaan kita bersama," ujarnya.
Sementara itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kejayaan itu membuktikan potensi besar sektor pertanian dan agro sebagai pemacu ekonomi serta tarikan pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, karnival yang berlangsung selama empat hari di daerah Raub itu berjaya dianjurkan dengan lancar serta menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat.
"Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir memeriahkan karnival ini. Semoga kejayaan MAHA Pahang 2026 menjadi pemangkin untuk penganjuran yang lebih cemerlang pada masa hadapan, sekali gus terus mengangkat sektor pertanian sebagai antara kekuatan utama Negeri Pahang," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

