Ribut: 28 kes pokok tumbang di Kuala Muda

Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi terjejas sekitar daerah Kuala Muda.
Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi terjejas sekitar daerah Kuala Muda.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 28 laporan kes pokok tumbang diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda sekitar daerah ini sehingga jam 3.30 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten PA Azahar Ahmad berkata, antara mukim terjejas ribut termasuklah Bujang, Kuala, Sungai Pasir, Sungai Petani, Merbok dan Pekula, namun tidak membabitkan kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Menurutnya, kes ribut di Kampung Masjid Kota Kuala Muda, Semeling, Simpang Tiga Pasir, Jalan Maktab Mahmud dan Kampung Bendang Dalam, Merbok berjaya diselesaikan dengan bantuan orang awam.

"Manakala kes ribut di Jalan Utama Sungai Jagung, Jalan Maktab Rendah Sains Mara Merbok, Sekolah Menengah Singkir dan Jalan Lencongan Barat diselesaikan oleh anggota APM," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan berhubung kes hujan lebat bersama angin kencang di beberapa lokasi sehingga menghempap rumah antaranya membabitkan lokasi di Kampung Berapit, Kampung Pokok Kabu, Tikam Batu, Taman Kelisa Ria, Kampung Keda Tepi Sungai, Kampung Matang Gedung, Kampung Paya Syed Omar Pantai Prai dan Kampung Sungai Division.

"Kita turut menerima kes pokok tumbang menghalang jalan di depan Sekolah Menengah Kota Kuala Muda, Darulaman Perdana, Bandar Seri Astana, Sekolah Kebangsaan Taman Ria, sebelah Pejabat Sada dan Kampung Kurnia Jaya," katanya.

Katanya, seramai 19 anggota APM Kuala Muda terlibat dalam operasi ini termasuk membabitkan anggota tambahan seramai 7 orang bagi membantu menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Antara agensi lain yang turut terlibat termasuklah bomba, polis, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, pejabat parlimen dan DUN, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun setakat ini, tiada pusat pemindahan dibuka.

Katanya, keadaan hujan sudah berhenti dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.