Terengganu yakin kekal kejuaraan Sukma 2020

Sukma Johor 2020
Sukma Johor 2020
A
A
A
TERENGGANU berharap dua acara iaitu kanu dan mendayung dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 bagi mengukuhkan kedudukan kontinjen itu sebagai juara bertahan pada kejohanan dwi tahunan yang akan berlangsung di Johor pada 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ketika ini, seramai 483 atlet di bawah program Sukma 2018 masih layak bertanding pada Sukma akan datang.

"Daripada jumlah itu kita ada kira-kira 163 atlet yang menyumbangkan pingat termasuk ramai pemenang pingat emas dan mereka ini telah memulakan latihan di bawah program Sukma 2020 sejak 1 November lalu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Atlet Sukma Ke-19 dan Pertukaran Perjanjian Kerjasama Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan insentif dua motosikal Yamaha Ego Avantiv bernilai RM5,700 kepada dua pemenang pingat emas, wang tunai RM1,000 kepada dua pemenang pingat perak dan wang tunai RM500 kepada tujuh pemenang gangsa yang disumbangkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) iaitu jabatan angkat Persatuan Sukan Angkat Berat Terengganu.
Artikel Berkaitan:


Terengganu muncul juara Sukma kali kelima pada 2018 selepas mendapat 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa sekali gus mengetepikan dua pencabar lain iaitu Wilayah Persekutuan dan Perak.- Bernama