Anak pengarah filem tersedak susu di pusat jagaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah filem berusia 33 tahun membuat laporan polis selepas bayi lelakinya berusia dua minggu tersedak susu ketika berada di pusat jagaan di Taman Tun Dr Ismail, di sini Isnin lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, bapa mangsa dimaklumkan oleh kakitangan pusat jagaan terbabit bahawa bayinya perlu dikejarkan ke hospital.

Menurutnya, bayi itu disedari dalam keadaan pucat dan kebiruan.

"Semasa di hospital, doktor dapati terdapat susu dalam paru-paru bayi tersebut.

"Akibat kejadian tersebut, bapa bayi terbabit telah membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail selepas mengesyaki berlaku kecuaian daripada kakitangan pusat jagaan terbabit," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Difahamkan, bayi tersebut kini dilaporkan selamat dan menerima rawatan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) sebuah hospital swasta di Damansara, Petaling Jaya.

Choo Lily berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya akan memanggil kakitangan pusat jagaan terbabit untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan: