Empat Exco Selangor masih 'kunci mulut'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Empat Exco Selangor daripada DAP dan PKR yang memohon untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan Shah Alam semalam masih ‘mengunci mulut’ dan enggan memberi sebarang maklum balas berhubung tujuan pertemuan itu.

“Tiada komen.” Itu jawapan ringkas keempat-empat Exco berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian ketika ditanya mengenai pertemuan tersebut.

Exco berkenaan ialah Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim; Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han serta Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Teng Chang Khim (kiri atas), V Ganabatirau, Ng Sze Han (kiri bawah) dan Hee Loy Sian
Teng Chang Khim (kiri atas), V Ganabatirau, Ng Sze Han (kiri bawah) dan Hee Loy Sian

Difahamkan semua Exco bukan Islam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang (Chang Kim); Kinrara (Sze Han); Kota Kemuning (Ganabatirau) dan Kajang (Loy Sian) dilihat memasuki pekarangan istana pada jam 10.40 pagi dan pertemuan berlangsung lebih dua jam.

Mereka dipercayai menghadap Sultan Selangor berhubung isu cadangan pindaan enakmen membabitkan pemelukan agama Islam bagi anak berusia bawah 18 tahun yang sepatutnya dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akhir bulan lalu.

Ganabatirau yang ditemui di hadapan Istana Kayangan semalam enggan mengulas mengenai perkara itu dan reaksi sama turut diterima daripada Loy Sian.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen Exco ketika pertemuan Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Amirudin Shari dengan pimpinan tertinggi parti komponen PH di kediaman rasminya petang semalam juga gagal apabila mereka tidak mahu memberi sebarang komen.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Selangor Royal Office dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook memaklumkan Sultan Sharafuddin menerima permohonan daripada Chang Khim untuk menghadap pada 25 Julai lalu.

Bagaimanapun, Sultan Selangor hanya memberi perkenan untuk keempat-empat Exco menghadap sebaik sesi Sidang DUN Selangor selesai.

ARTIKEL BERKENAAN: 4 Exco dipanggil menghadap Sultan Selangor