Jemaah haji terkandas: Usaha burukkan Arab Saudi babitkan visa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Alumni Universiti-Universiti Arab Saudi Malaysia (Wasim) menyifatkan terdapat usaha memburukkan Arab Saudi berkaitan urusan visa haji berikutan insiden 26 jemaah haji yang dihantar pulang selepas terkandas di Jeddah.

Presidennya, Ahmad Hasyimi Che Pa berkata, Arab Saudi memberikan kuota haji tahunan melalui Tabung Haji seramai 32,000 jemaah termasuklah meluluskan kuota tambahan sebanyak 5,000 untuk rakyat Malaysia.

"Tabung Haji sebagai pihak pengurusan haji rasmi di Malaysia menguruskan jemaah kuota rasmi dan kuota tambahan dengan baik bersama dengan agensi yang diberi lesen haji dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

"Satu lagi jenis visa ialah visa Haji Mujamalah dan Mujamalah bermaksud budi bicara yang jumlahnya sangat terhad dan bukan satu ketetapan untuk diberikan bagi pihak yang memohon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, visa yang dinamakan visa Furada atau budi bicara bukan hanya untuk rakyat Malaysia malah ia untuk semua warga negara luar yang tinggal di Malaysia.

Katanya, ia tidak mempunyai keistimewaan daripada kuota rasmi dan kuota tambahan yang hanya dikhususkan untuk warganegara Malaysia.

"Keghairahan pihak agensi bukan PJH dalam mempromosikan pakej Haji Furada menyebabkan ramai jemaah mendaftar haji dengan pakej ini tanpa berpandukan kepada bilangan visa Furada sehingga menyebabkan bilangan jemaah melebihi jumlah visa Furada.

"Kebanyakannya mengharapkan kepada janji manis pihak ketiga yang mendakwa mereka mampu mendapatkan visa Furada berdasarkan hubungan rapat mereka dengan pihak kedutaan tetapi pihak ketiga sebenarnya tidak memiliki apa-apa autoriti sama ada di pihak Arab Saudi mahu pun pihak Tabung Haji," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Hasyimi berkata, kedutaan Arab Saudi berusaha untuk mengeluarkan visa kepada jemaah haji sebaiknya namun mereka terikat dengan jumlah bilangan visa mengikut kuota.

"Terdapat pihak yang turut mendakwa mereka 'menjual' khidmat mereka dengan harga yang tinggi sedangkan Arab Saudi memberikan visa secara percuma," katanya.