Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dilantik Prof Adjung USIM

Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh
Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh
A
A
A

NILAI - Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam satu majlis khas di Panggung Budaya, Pusat Kebudayaan USIM, semalam.

Timbalan Naib Canselor USIM (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, USIM amat berbesar hati mendapatkan khidmat Dr Muhammad sebagai pakar rujuk yang akan dikelola oleh beberapa jabatan di USIM.

Katanya sebagai sasterawan dan ahli akademik yang dihormati, Dr Muhammad memainkan peranan penting dalam dunia kesusasteraan Melayu melalui pelbagai pertemuan penulisan dan pembentangan kertas kerja, dan ternyata sumbangannya mengenai teori-teori sastera dalam hubungan dengan kesusasteraan Melayu amat besar.

Beliau berharap agar Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Pusat Pengajian Teras akan mengambil inisiatif ke arah memartabatkan agenda memperkasa bahasa Melayu di USIM.

"Semoga pelantikan ini dapat menyemarakkan budaya Integrasi ilmu Naqli dan Aqli kepada warga kampus keseluruhannya," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Muhammad berkata, pelantikan itu menjadi satu titik permulaan yang baik untuknya menyumbang idea bersama USIM dan mengajak supaya sama-sama mengkaji keunikan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

"Saya menganggap pelantikan ini satu amanah untuk menyalurkan buah fikir dan memainkan peranan bersama USIM, selain sama-sama menghayati karya Melayu melalui pelbagai program yang telah dirancang untuk tempoh dua tahun ini nanti," katanya.

Dr Muhammad, 77, berasal dari Perak dan mula dikenali sebagai penulis pada akhir tahun 1960-an dan menulis puisi yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

Artikel Berkaitan:

Ketokohan beliau dalam dunia penulisan puisi Melayu moden dikagumi oleh para peminat sastera tanah air apabila karya-karyanya, terutamanya puisi, mendapat perhatian bukan sahaja oleh Panel Hadiah Karya Sastera Tanah Air bahkan setelah beliau memenangi 'Hadiah Sastera Asean' di Jakarta. - Bernama