Semua hentam dan laknat kami: Fadzil Zahari

A
A

BELUM ditayangkan tetapi terus dikecam sehingga ada segelintir yang sanggup meninggalkan kata-kata kesat kepada penerbit dan pelakon, Fadzil Zahari.

Akui suami kepada selebriti Yana Samsudin itu, meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir netizen yang sudah menjatuhkan hukum tanpa menonton dahulu drama terbitannya, Demi Tuhan Aku Bersaksi.

"Alhamdulillah. Malam semalam sampai lewat pukul 1.00 pagi kami bincang dengan Ustaz (Pencetus Ummah) Hafiz, abang sangat respek sebab dia memang gentleman.

"Inilah Ketua yang kita harapkan, seorang Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz Selangor (PITAS).

"Saat hampir kesemua netizen hentam abang, Yana Samsudin, Prokuya Studios dan pengarah kami Eyra Rahman bahkan pelakon pun kena kerana telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi.

"Ada yang laknat kami, doakan kami sekeluarga masuk neraka, agen Yahudi la, ajak boikot sedangkan mereka sendiri pun tak pernah tonton cerita ini lagi.

"Maka datanglah Ustaz Hafiz bertanya dan ajak bincang perkara ni. (tak ada ikon tabik kat sini).

"Jadi, abang harap semua boleh tunggu sekejap, kita akan capai kata sepakat bersama RTM dan semua pihak terlibat untuk pencerahan pada semua Insya Allah," tulisnya.

Drama yang diberi judul Demi Tuhan Aku Bersaksi itu bakal disiarkan di RTM sebenarnya mengisahkan seorang lelaki yang memilih menjadi mak nyah dan mahu berubah ke arah kebaikan.

Justeru dia memilih untuk memasuki sebuah pusat tahfiz, tetapi kehadirannya dinafikan.

Sebelum ini menurut laporan media, Fadzil berkata drama itu diinspirasikan daripada kisah sebenar yang berlaku di tempat pengajian dan watak utamanya dijayakan oleh Syafie Naswip dan Fezrul Khan.