X

Kindly register in order to view this article
!

Exco tinjau pencemaran Sungai Temon

Chen Choon meninjau keadaan Sungai Temon yang tercemar.
A
A

JOHOR BAHRU - Pencemaran Sungai Temon dekat sini, mendapat perhatian kerajaan negeri yang segera turun padang selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat.

Pelbagai agensi berkaitan hadir dalam lawatan tersebut yang diketuai oleh Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon.

Antara jabatan dan agensi yang hadir adalah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kimia, Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Tinjauan Sinar Harian yang turut ke lokasi mendapati kualiti air Sungai Temon terletak berhampiran Kampung Sungai Temon tercemar dengan timbunan sampah.

Malah lokasi sekeliling dijadikan kawasan pembuangan sisa bahan buangan termasuklah sampah sarap dan sisa pembinaan dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Chen Choon berkata, tinjauannya ke lokasi dibuat pada kadar segera selepas pihaknya ada menerima aduan berkaitan pembuangan pelbagai sisa buangan di kawasan tersebut.

"Memang pihak kerajaan sangat risau akan keadaan kalau sekiranya berlaku sisa-sisa buangan yang bertoksik yang dibuang di kawasan ini akan mencemarkan anak sungai dan memberikan impak besar.

"Tapi apa yang kita nampak hari ini tiada sisa-sisa buangan toksik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi selepas tinjauan tersebut di sini hari ini.

Chen Choon berkata, Sungai Temon yang terletak di berhampiran kawasan penempatan ratusan masyarakat Orang Asli Seletar itu mengalir ke Selat Tebrau (Selat Johor).

"Ini akan mencemarkan lagi sungai-sungai kita. Kita perlu menangani masalah ini. Sebab itu kita mengajak jabatan berkaitan untuk turut serta dalam tinjauan ini.

"Supaya kita boleh ada satu tindakan bersepadu untuk menyelesaikan atau menangani masalah ini atau mencari jalan penyelesaian," katanya.

Beliau berkata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah dicadangkan untuk membuat halangan bagi mengekang kehadiran lori membawa muatan sisa buangan ke lokasi tersebut.

"Kita difahamkan ada lori-lori yang membawa sisa buangan masuk dan buang di sini. Jadi mungkin kita akan tengok macam mana, kita boleh adakan benteng untuk menghalang lori masuk ke kawasan ini.

"Saya juga akan minta pihak JPS untuk membersihkan kawasan ini. Saya difahamkan ini sudah berlarutan dalam tempoh masa yang agak lama. Untuk mengelakkan situasi menjadi teruk, kita akan ambil tindakan," katanya.

Chen Choon berkata, pemilik tanah tersebut juga akan dikesan dan tindakan tegas bakal diambil oleh pihak berwajib mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara.