Pemilihan surah al-Kahf bertepatan dengan masyarakat hari ini

Mastura (kiri) dan Mohamed Fadzli
Mastura (kiri) dan Mohamed Fadzli
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan surah al-Kahf sebagai tema Pesan Kemerdekaan dalam program Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya pada 30 Ogos ini sangat bertepatan dengan situasi masyarakat hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Raja Tun Uda Shah Alam, Mastura Muhamad berkata, semua 114 surah yang terkandung dalam al-Quran mempunyai kebaikan tersendiri tetapi penggunaan surah al-Kahf adalah satu pilihan yang terbaik kerana intisari ayatnya berkaitan dengan erti kemerdekaan sebenar.

Menurutnya, ALLAH SWT telah berfirman dalam surah al-Kahf ayat 2 yang bermaksud: “Sebagai bimbingan yang lurus untuk memperingatkan akan seksa yang sangat pedih dari sisi-Nya dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan kebajikan bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik”.

“Bayangkan jika kita mahu melakukan sesuatu perkara yang baik kita perlu ada jiwa yang merdeka, jiwa merdeka ini ialah hanya mengharapkan ALLAH dan inilah amanat surah al-Kahf. Jika apa yang kita lakukan dan mengharapkan pujian atau penghargaan orang lain maksudnya jiwa kita masih belum merdeka.

“Untuk merdeka kita hanya perlu panjatkan doa kepada ALLAH, maksudnya yang akan tunjukkan jalan kejayaan kepada kita hanyalah ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini semalam.

Mastura berkata, surah al-Kahf adalah surah yang memberi semangat kepada setiap jiwa yang membaca dan bertadabur dengannya.

Mengulas peranan PPAS sebagai antara pencetus dalam penganjuran Malaysia #QuranHour yang kini sudah memasuki tahun kelima penganjurannya, Mastura berkata, kini gelombang baca, faham dan amal al-Quran sudah mulai wujud dalam kalangan masyarakat hari ini.

Menurutnya, program #QuranHour sudah menjadi sebahagian daripada perkara wajib yang perlu dilakukan pada setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa semua perpustakaan di seluruh negara akan turut serta dalam program Malaysia #QuranHour pada kali ini dan dianggarkan kira-kira 100,000 lebih kakitangan perpustakaan bakal mengadakannya di tempat masing-masing.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perkhidmatan PPAS Raja Tun Uda, Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata, sejak mengamalkan bacaan surah al-Kahf setiap pagi selama 15 minit sepanjang hari bekerja ia banyak memberikan impak positif dalam setiap urusan yang dilakukan.

Katanya, rutin itu juga menjadikan urusan di PPAS Raja Tun Uda harmoni dan mudah.

“Banyak kesan positif yang saya alami sejak mengamalkan bacaan surah al-Kahf.

“Rentetan daripada membaca surah al-Kahf secara berkumpulan pada setiap pagi, ia juga membawa kami untuk bersolat di awal waktu secara berjemaah setiap kali tibanya waktu solat,” katanya.