Penduduk ikat Datuk Bandar pada tiang besi

Datuk Bandar Siltepec, Pedro Damian Gonzalez Arriaga diikat pada sebatang tiang kerana gagal tunai janji dibuat semasa kempen pilihan raya.
A
A

MEXICO CITY - Seorang Datuk Bandar di negeri Chiapas, Mexico diikat pada sebatang tiang oleh penduduk yang berang gara-gara gagal menunaikan janji dibuat semasa kempen pilihan raya lalu.

Kejadian malang menimpa Datuk Bandar Siltepec, Pedro Damian Gonzalez Arriaga itu berlaku ketika beliau mengadakan lawatan kerja di pekan kecil La Laguna.

Semasa berada di pekan itu, penduduk mendesak supaya wang dalam tabung khas diperuntukkan untuk menaik taraf jaringan jalan raya sepanjang 2km, namun Arriaga memberi alasan cadangan tersebut menyebabkan ketidakseimbangan dalam bajet perbandaran.

Pada masa sama, Arriaga memaklumkan kerja-kerja naik taraf itu hanya membabitkan jalan raya sepanjang satu kilometer selain berjanji untuk mencari peruntukkan tambahan bagi memenuhi permintaan penduduk.

Penduduk yang tidak berpuas hati dengan jawapan ahli politik itu bertindak mengikatnya pada sebatang tiang besi di dataran utama di Siltepec.

Mereka memberitahu wartawan bahawa tindakan itu dibuat selepas berasa tertipu dengan manifesto Arriaga yang gagal ditunaikan termasuk memperbaiki sistem pengangkutan awam serta beberapa projek berkepentingan awam.

Arriaga juga turut dituduh menggunakan dana awam untuk menghiasi pejabatnya.

Selain diikat pada tiang kepala Arriaga turut dibotakkan.

Baru-baru ini, seorang Datuk Bandar di wilayah Huixtan turut 'dikerjakan' oleh penduduk yang berang kerana kerana gagal memperuntukkan 3 juta peso (RM645,954) bagi kos penambahbaikan sistem pengairan.

Video Javier Jimenez yang memakai skirt labuh berwarna hitam dan blaus putih bercorak bunga menjadi tular selepas dimuat naik ke media sosial. - Agensi