X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Kelantan lawat mangsa kebakaran

Sultan Muhammad V yang tiba di lokasi kejadian bertemu mangsa dan bersalaman dengan Abu Bakar (kanan).
A
A

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan supaya kesemua tujuh keluarga mangsa kebakaran di Kampung Dusun Muda di sini diberi bantuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) ketika mencemar duli melawat mangsa kebakaran di lokasi kejadian pada jam 3.20 petang tadi.

Baginda meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat sendiri keadaan kesemua 59 mangsa yang terbabit dalam kejadian itu dan turut menyampaikan sumbangan wang tunai.

Kejadian kebakaran berlaku pada jam 9 malam Isnin lalu telah memusnahkan tujuh buah rumah hingga menyebabkan tujuh keluarga hilang tempat tinggal, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang mangsa juga pesara guru, Abu Bakar Abu Rahman, 63, berkata, dia sangat berbesar hati menerima kunjungan baginda yang sudi mencemar duli melihat sendiri keadaan rakyat yang ditimpa musibah.

Sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Sultan Kelantan kepada mangsa, Siti Hajar Abu Bakar, 29, di lokasi kejadian di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu hari ini.
Sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Sultan Kelantan kepada mangsa, Siti Hajar Abu Bakar, 29, di lokasi kejadian di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu hari ini.

“Saya tidak menyangka dalam sabar berdepan ujian yang saya hadapi membolehkan saya bertentang mata dengan Sultan Muhammad V.

“Saya sangat bangga dan berbesar hati serta menjunjung kasih kepada Tuanku yang sudi datang lebih-lebih lagi menawarkan pula bantuan rumah kepada kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Dusun Muda di sini hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Md Salleh Sarbini dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Zulkifli Abdul Rahman.

Abu Bakar berkata, dia bersama sembilan beranak dan mangsa-mangsa lain kini tinggal sementara di sebuah bengkel jahitan berhampiran dengan lokasi kejadian sejak insiden itu.

“Kami sekarang tidak ada tempat tinggal kerana itu satu-satunya rumah yang kami ada, apabila Tuanku sudi menawarkan rumah kami sangat gembira menerimanya apatah lagi akan menyambut Aidiladha Ahad ini,” katanya.

Sinar Harian Isnin lalu melaporkan kebakaran berlaku di Kampung Dusun Muda di sini membabitkan tujuh rumah yang berhimpit antara satu sama lain di kampung itu.

Sejumlah 59 anggota dari lima balai bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan dibantu oleh 31 anggota polis serta bomba sukarela.

Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN Tujuh rumah hangus terbakar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!