Polis Marin rampas rokok seludup bernilai lebih RM70,000

Sebahagian rokok seludup pelbagai jenis yang dirampas oleh anggota Polis Marin dalam dua serbuan di sekitar Sitiawan.
A
A

SITIAWAN - Sebanyak 408 karton rokok seludup dirampas dalam serbuan di dua premis sekitar Sitiawan, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 12.30 tengah hari di sebuah kedai runcit di Jalan Kampung Sitiawan, di sini yang menemukan 58 karton rokok seludup pelbagai jenis.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pada jam 12.45 tengah hari yang dijalankan di sebuah kedai runcit berhampiran, sebanyak 350 karton rokok seludup pelbagai jenis ditemui.

"Berdasarkan siasatan awal kita percaya bahawa rokok-rokok itu diseludup dari negara jiran dan untuk dipasarkan sekitar Sitiawan. Nilai anggaran kesemua barang rampasan berjumlah RM70,477.

"Dua orang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun dan 37 tahun turut ditahan. Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Kampung Acheh, di sini," katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Rosman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu Rosman turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan penjualan dan pengedaran rokok tidak sah.

"Polis Marin akan memerangi jenayah penyeludupan terutama pengedaran atau penjualan rokok yang tidak sah yang mana secara tidak langsung merugikan negara.

"Dengan penangkapan serta rampasan ke atas kes ini juga diharap dapat memberi impak positif dengan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran serta penjualan rokok yang tidak sah pada masa-masa akan datang," katanya.