Spesis flora fauna baharu ditemui di hutan Kelantan

Ahmad (dua dari kanan) merasmikan Seminar Ekspedisi Hutan Ulu Sat: Nadi Pemeliharaan Alam Semulajadi Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Ahmad (dua dari kanan) merasmikan Seminar Ekspedisi Hutan Ulu Sat: Nadi Pemeliharaan Alam Semulajadi Kelantan di Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berbangga apabila Jabatan Hutan Negara menemui beberapa spesis baharu flora dan fauna dalam hutan simpan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia merupakan hasil usaha kerajaan melestarikan kawasan hutan yang mencapai 53.4 peratus (806,534.5 hektar) daripada keluasan tanah negeri ini.

Daripada jumlah itu beliau berkata, seluas 629,775 hektar kawasan berhutan diwartakan sebagai kawasan hutan simpanan kekal.

“Jika kajian dilakukan terhadap spesis flora baharu seperti orkid dan serangga, saya percaya ia akan menjadi khazanah ternilai dan boleh mencecah hingga jutaan ringgit.

“Berdasarkan penemuan baharu ini, kerajaan negeri akan berusaha untuk mewujudkan keseimbangan peranan hutan terhadap pembangunan sosioekonomi, mengekalkan kestabilan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan pengekalan budaya masyarakat seiring dengan pertambahan penduduk negara di masa depan," katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Seminar Ekspedisi Hutan Ulu Sat: Nadi Pemeliharaan Alam Semulajadi Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Borhanudin Arshad dan Pengarah Perhutanan Kelantan, Mohd Radhi Chu Abdullah.

Sementara itu, Borhanudin berkata, ekspedisi yang dijalankan selama lima hari bermula 11 Ogos tahun lalu, disertai 80 pakar penyelidik, pensyarah dan orang perseorangan daripada pelbagai universiti.

Menurutnya, mereka menemui pelbagai spesies dan keunikan daripada burung, pepatung, lumut dan tumbuhan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap penemuan ini dapat diserlahkan dalam seminar, seterusnya terjemahkan dalam buku ekspedisi Hutan Ulu Sat: Nadi Pemeliharaan Alam Semulajadi Kelantan,” katanya.