Kes remaja Ireland: Muhyiddin gesa guna kenyataan rasmi sahaja

Seorang penduduk sekitar merakam gambar seorang pelancong dari Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilekatkan di sekitar kawasan Kampung Pantai. - Foto Bernama
Seorang penduduk sekitar merakam gambar seorang pelancong dari Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilekatkan di sekitar kawasan Kampung Pantai. - Foto Bernama
A
A
A

PAGOH - “Pakai kenyataan rasmi, bukan tanggapan masing-masing,” demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung spekulasi kehilangan remaja warga Ireland di Nilai, Negeri Sembilan Ahad lalu.

Menurut beliau, siasatan masih dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sehingga kini tiada unsur penculikan yang boleh dikaitkan dengan kehilangan mangsa, Nora Anne Quoirin, 15.

“Yang penting kenyataan rasmi dikeluarkan oleh jabatan polis, itu lagi penting. Apa orang lain kata tak penting kerana mereka (polis) lebih tahu apa yang berlaku di bawah.

“Pakai kenyataan rasmi, bukan tanggapan masing-masing kata itulah, inilah kerana akan menimbulkan salah faham. Terutama kes melibatkan warganegara asing supaya siapa pun yang datang ke negara kita rasa selamat tak menghadapi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami tolong cari Nora'

Muhyiddin berkata, sehingga kini pencarian masih dijalankan oleh lebih 170 anggota termasuk pasukan PDRM, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan Negeri dan juga penduduk tempatan.

“Dalam kes macam ni, bukan ia masih dianggap hilang. Kita pun tahu apa yang dilaporkan bapa mereka bahawa mangsa ini tidak seperti kanak-kanak biasa. Apa pun saya tak nak buat telahan dan serahkan pada pihak berkuasa yang jalankan siasatan sejak beberapa hari lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Nora Anne Quoririn, 15, dikatakan datang ke Malaysia bersama ibu bapa dan dua lagi adik-beradiknya namun dilaporkan hilang daripada tempat penginapan mereka di Perling House The Dusun dan hanya disedari keluarga kira-kira jam 8 pagi Ahad.

Muhyiddin (dua dari kiri) merasmikan Penutupan Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi, Pagoh hari ini.
Muhyiddin (dua dari kiri) merasmikan Penutupan Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi, Pagoh hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dalam kenyataannya turut memaklumkan kes masih diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan buat masa ini.