'Kami tolong cari Nora'

Gerakan mencari Nora dilakukan di sekitar lokasi. (Gambar kecil: Bali Akau, Azura Betok)
A
A

SEREMBAN - Penduduk tempatan terutamanya di Kampung Kolam Air berhampiran The Dusun Pantai Hill di sini masih berharap gadis warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang pada pagi Ahad di resort itu segera ditemukan sekali gus menjawab pelbagai persoalan ketika ini.

Timbalan Tok Batin Kampung Kolam Air, Bali Akau berkata, pihaknya turut melakukan pencarian gadis itu mengikut kepercayaan mereka dan yakin usaha sama juga dilakukan oleh orang ramai mengikut kepercayaan masing masing.

"Kami tolong sama cari. Orang agama Islam, Kristian ke buatlah ikut kepercayaan masing masing selain ikut gerakan mencari ini bersama anggota penguat kuasa.

"Saya pun pelik macamana gadis ini boleh hilang sebab setahu saya pagar resort dulu saya yang buat. Tapi tak tahulah sekarang eloknya macam mana," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bali berkata, pihaknya tidak menafikan pelbagai tanggapan mengenai kehilangan gadis ini susulan kejadian itu pertama kali berlaku sejak hampir 30 tahun dia menetap di kampung itu.

"Kalau orang asli yang masuk hutan, banyak laluan yang kami tahu. Berbeza dengan orang luar kerana lokasi ini kawasan permainan kami," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Azura Betok, 26, berkata, dia mahu gadis itu segera ditemui kerana pelbagai kisah didengari sejak hari kehilangannya.

"Saya dengar ada yang kata dia disorokkan makhluk halus, ada juga katanya diculik. Tapi segalanya belum dapat disahkan lagi.

Pihak media turut berada di lokasi sejak awal pagi.
Pihak media turut berada di lokasi sejak awal pagi.

"Adik saya juga menyertai misi mencari dengan pihak berkuasa dan saya sendiri masih belum sempat bertemu adik untuk mengetahui perkembangan," katanya.

Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) Nora diteruskan hari ini yang memasuki hari ketiga membabitkan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan termasuk penduduk tempatan.

Pihak polis dijangka mengadakan sidang media di Balai Polis Pantai bagi memaklumkan perkembangan SAR pada jam 4.30 petang ini.

Ahad lalu, Nora dilaporkan hilang ketika bercuti dengan ahli keluarganya di The Dusun Pantai Hill di sini.

Gadis itu disedari hilang jam 8 pagi selepas didapati tiada di biliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja warga Ireland dilapor hilang di Seremban

ARTIKEL BERKAITAN: Di mana Nora Anne Quoririn?

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Ireland hilang tiada unsur jenayah