APMM kesan dua lokasi panas perairan Perak

Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Tan Kok Wee (tengah) memakaikan lencana kepada Sharizan (kanan) sambil disaksikan Wan Mat (kiri) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Perak di Ibu Pejabat APMM Perak, hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Tan Kok Wee (tengah) memakaikan lencana kepada Sharizan (kanan) sambil disaksikan Wan Mat (kiri) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Perak di Ibu Pejabat APMM Perak, hari ini.
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan dua lokasi di perairan Perak yang menjadi lokasi pencerobohan nelayan dan agensi penguat kuasa Indonesia.

Pengarah Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA), Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, dua lokasi berkenaan adalah 30 batu nautika barat daya Pulau Jarak dan 30 hingga 40 batu nautika dari perairan Kuala Kurau.

"Kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan nelayan tempatan kerana mempunyai hasil laut yang banyak dan lumayan.

"Nelayan asing juga sering menangkap ikan di kawasan berkenaan dan nelayan tempatan perlu memaklumkan kepada APMM sekiranya mereka melihat nelayan asing menceroboh perairan negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Perak di Ibu Pejabat APMM Perak, di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan nelayan tempatan agar tidak berada terlalu jauh dari perairan negara bagi mengelakkan mereka ditahan penguat kuasa asing yang menceroboh.

“Kita meningkatkan rondaan berkala dan sentiasa bersedia untuk melindungi komuniti nelayan di perairan kita termasuk bekerjasama dengan agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kita turut meningkatkan komunikasi dengan nelayan dan mereka boleh menghubungi terus pejabat APMM pada bila-bila masa untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Wan Mat berkata, APMM juga sentiasa bersiap sedia untuk melindungi warga maritim jika berdepan bencana, memenuhi keperluan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan membanteras sebarang jenayah di laut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Mat dilantik sebagai Pengarah SWASLA bagi menggantikan Komander Maritim Khoo Teng Chuan yang kini dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Operasi) SWASLA.

Manakala, Timbalan Pengarah Operasi Maritim, Komander Maritim Shahrizan Raman dilantik sebagai pemangku Pengarah Maritim Negeri Perak.