Mansuh UPSR: Kementerian diminta buat kajian terperinci

Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan diminta membuat kajian secara terperinci berhubung cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, peperiksaan itu penting bagi menilai pencapaian murid di peringkat sekolah rendah.

“UPSR masih penting dan diperlukan untuk menilai tahap pengukuhan akademik terutama dalam mata pelajaran sains dan teknologi serta bukan akademik termasuk kemahiran setiap murid.

“Bagi saya, ia wajar dikekalkan kerana masih relevan bagi penarafan murid untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih bersedia sebelum memasuki sekolah menengah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu UPSR dimansuhkan dalam usaha transformasi sistem pendidikan berteraskan penilaian peperiksaan, selain melahirkan murid yang lebih baik.

Menurut Wan Marzuki, kementerian juga perlu melihat sama ada dasar baharu itu jauh lebih baik daripada sedia ada.

“Kita pun tidak pasti apa yang bakal digantikan dengan UPSR. Tetapi bila hendak ditransformasikan, mesti ia lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Jadi kajian menyeluruh dan terperinci perlu dijalankan untuk melihat kebaikan, kelemahan serta apa yang perlu untuk ditambah baik,” katanya.

Katanya, hanya sistem pendidikan yang memberi penekanan seimbang antara pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum dapat membentuk sistem pendidikan yang holistik.

“Rasional bahawa peperiksaan UPSR kepada sistem pendidikan yang menjurus kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan tetapi pemansuhan peperiksaan berkenaan bukanlah penyelesaian terbaik,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia