Sanggup berhabis RM35,000 ubah suai kereta Wira

Tuan Mohd Fazzell (kanan) bersama rakannya, Shahril Samsuri, 34, bersaing dalam kategori Proton Ubah Suai. Gambar kecil: Nazri
Tuan Mohd Fazzell (kanan) bersama rakannya, Shahril Samsuri, 34, bersaing dalam kategori Proton Ubah Suai. Gambar kecil: Nazri
A
A
A

PASIR PUTEH - Siapa sangka minat mendalam terhadap ubah suai kereta menyebabkan pemilik kereta Proton Wira sanggup berbelanja besar untuk kepuasan dirinya.

Tuan Mohd Fazzell Tuan Ahmad, 29, berkata, paling istimewa, aktiviti tersebut turut menaikkan semangatnya apabila kereta berkenaan memenangi beberapa anugerah hasil ubai suai kereta.

Menurutnya, setakat ini dia membelanjakan RM35,000 untuk aktiviti ubah suai kereta Proton Wira keluaran tahun 1998 miliknya.

"Saya beli kereta itu dua tahun lalu dengan harga RM3,500 sahaja. Saya ubah suai sedikit demi sedikit sehinggalah kereta ini memenangi banyak anugerah bagi kategori Ubah Suai Proton.

"Walaupun kereta lama, saya menjaganya seperti kereta baharu, mesti sentiasa berkilat," katanya yang berasal dari Kampung Alor Keladi, Besut.

Tuan Mohd Fazzell yang juga ahli Wira Malaysia Club Motorsport (WMCM) berkata, dia berpuas hati dengan keretanya walaupun ia digunakan untuk pameran dan pertandingan.

"Bertukar pendapat dan bergaul mesra dengan rakan mempunyai minat sama serta tekun meneliti perkembangan pemotoran dunia memberi kelebihan untuk kita mengubah suai kereta," katanya.

Tuan Mohd Fazzell berkata demikian ketika ditemui sewaktu menyertai Econsave Autoshow anjuran Budak Kereta Geng Kita dan Geng Kelab Kereta Utara dengan kerjasama Econsave Pasir Puteh dan Persatuan Permotoran Negeri Kelantan (PPNK) di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Presiden PPNK, Nazri Zakuan ketika ditemui berkata, Econsave Autoshow disertai 680 pemilik kereta dan motosikal dari 25 kelab.

Katanya, objektif program bertujuan adalah merancakkan lagi kempen anti lumba haram.

"Sebanyak 90 peratus dari ahli kelab itu adalah golongan belia, jadi amat wajar untuk kita menggalakkan pemanduan sihat kepada mereka," katanya.

Menurutnya, sebanyak 10 trak dari Kijang Putih Truck Club turut dipamerkan pada program tersebut.