Padah ubah suai motosikal

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya mengadakan operasi susulan aduan orang awam mengenai masalah bunyi bising dari ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman penduduk.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya mengadakan operasi susulan aduan orang awam mengenai masalah bunyi bising dari ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman penduduk.
A
A
A

AMPANG - Empat motosikal ditahan selepas didapati membuat pengubahsuaian berlebihan dalam Operasi Motosikal dan Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) dan Bukit Permai, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi pada jam 11.30 malam itu susulan aduan orang awam mengenai masalah bunyi bising dari ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman penduduk.

"Hasil operasi berkenaan, empat motosikal ditahan kerana melakukan pengubahsuaian yang berlebihan pada pelbagai komponen sedia ada.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 104 saman dikeluarkan di atas kesalahan antaranya seperti ubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran, gagal pamer lesen memandu/cukai jalan dan cermin sisi.

"Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan tidak mengubahsuai sebarang struktur sedia ada pada kenderaan sehingga membawa kepada pencemaran bunyi dan juga mengganggu ketenteraman awam.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya akan meneruskan operasi secara berterusan untuk membanteras pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya.