Hanya kerana setin susu

No Image Caption
A
A
A

INSIDEN sebuah lori muatan tin susu terbalik di Bachok, Kelantan, Rabu lalu mengingatkan insiden yang pernah berlaku di Parit Buntar, Perak.

Dalam kejadian tersebut, lebih 200 kilogram ikan siakap beku bertaburan di jalan raya selepas lori membawa muatan ikan itu terbabas dan terbalik di Jalan Bagan Tiang, Tanjung Piandang. Pemandu lori berkenaan cedera tersepit di tempat duduk pemandu. Sementara itu, ikan yang bertaburan dimasukkan semula ke dalam tong ikan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Di Kuala Selangor juga pernah berlaku sebuah treler membawa muatan minuman produk Vico terbalik di Kilometer 37.5 Jalan Teluk Intan. Dalam kejadian itu, tersebar di laman sosial apabila netizen mendakwa orang ramai mencuri minuman itu.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan polis berikutan pengurus syarikat treler berkenaan memberi kebenaran kepada orang ramai membawa balik memandangkan bungkusan sudah rosak dan tidak boleh dijual.

Namun situasi dua kes di atas berbeza kisahnya di Bachok. Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu lalu, 1,200 tin susu yang hendak dihantar dari Lembah Klang ke Pengkalan Chepa dikebas orang ramai setelah lori muatan tin susu terbalik.

Pada saat pemandu lori cedera dan memerlukan bantuan, ada pula yang mengambil kesempatan mengutip tin susu tersebut. Bagaimanapun, kejadian itu mendapat kecaman netizen setelah gambar-gambar kejadian dimuat naik oleh seorang individu di sebuah laman Facebook.

Beberapa rakaman video kejadian ini turut ditularkan memaparkan suasana meriah orang ramai mengambil tin susu tanpa kebenaran pemilik lori berkenaan. Rata-rata netizen menganggap tindakan orang ramai itu memalukan apabila ada di antaranya berkopiah dan bertudung.

Susulan kejadian itu, anak pemilik lori berkenaan memuat naik di status laman sosial meminta mereka yang mengambil tin susu tersebut supaya memulangkannya. Laporan polis turut dibuat atas kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Namun sehari selepas itu, pemilik muatan lori berkenaan, Azizan Zainuddin, 57, menyatakan dia menghalalkan tin susu yang tidak dipulangkan walaupun terpaksa menanggung kerugian. Azizan berkata, dia menganggap isu tersebut selesai.

Berdosa

Bila kejadian itu berlaku, timbul persoalan di manakah letaknya nilai-nilai murni masyarakat kita sekarang sehinggakan tidak dapat membezakan yang betul atau salah, yang pahala atau dosa. Mengambil barang bukan hak milik ibarat mencuri dan berdosa besar. Apatah lagi yang diambil itu bersumberkan makanan dan pastinya soal halal dan haram timbul.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman ketika mengulas insiden itu berkata, mengambil hak orang lain, lebih-lebih lagi ketika berlaku kemalangan adalah tindakan kejam.

“Bukan sahaja Muslim tetapi masyarakat bukan Islam juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil hak orang lain,” katanya.

Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud ‘setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu yang haram maka neraka lebih berhak baginya’. (Hadis Riwayat At-Tirmidzi).

Insiden itu juga telah menarik perhatian Imam Tua Masjid Mukim Pauh Sembilan, Kota Bharu, Mohd Yuzakky Mohd Yusof yang menjelaskan, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk menggantikannya semula, maka dia perlu bertemu pemilik barangan itu dan memohon untuk meminta halal bagi barangan yang telah diambilnya.

Isu itu juga pernah diperjelaskan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid supaya umat Islam khususnya tidak mengambil apa-apa barangan termasuklah makanan daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Beliau menegaskan, perbuatan itu sama sekali hukumnya adalah haram sekiranya mengambil tanpa kebenaran pemiliknya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah, dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bagaimanapun selepas pemilik lori berkenaan menghalalkan tin susu yang diambil oleh orang ramai itu, mungkin laporan tersebut tidak diteruskan. Namun, kejadian itu sepatutnya menjadi iktibar kerana ia bukan sahaja menyentuh soal halal dan haram tetapi boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah. Dalam situasi ini juga, orang yang melakukan kesalahan itu tetap perlu memohon untuk meminta halal bagi barangan yang telah diambilnya.

Antara kita sedar atau tidak, kerohanian dalam masyarakat kini semakin rapuh dan kurang. Walaupun isu tersebut nampaknya remeh untuk dikupas namun jika tidak ditangani ia menjadi barah yang lebih teruk dalam masyarakat.

Soal-soal murni dalam kehidupan perlu disemai kembali dan banyak pihak harus memikirkan bersama kerana pengaruh luar dan anasir negatif menerusi gajet dan media semakin hebat mempengaruhi pemikiran.