Terjemahan erti kemerdekaan melalui surah al-Kahf

Paimuzi mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Malaysia #QuranHour 2019 di Jakim baru-baru ini. (Gambar kecil, Paimuzi)
Paimuzi mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Malaysia #QuranHour 2019 di Jakim baru-baru ini. (Gambar kecil, Paimuzi)
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyasarkan kira-kira 7,000 kakitangan kerajaan dan orang awam akan menyertai program Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung buat pertama kali di Masjid Putra, Putrajaya pada 30 Ogos ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Paimuzi Yahya berkata, jangkaan jumlah tersebut adalah kerana kedudukan Masjid Putra yang berada di tengah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya dan ia juga sering dikunjungi orang awam.

“Kita sasarkan 5,000 hingga 7,000 akan bersama bertadabbur dan kita mahu al-Quran yang dibaca akan dihayati sekali gus akan menjadi panduan dalam kehidupan sama ada semasa bertugas atau sebaliknya.

“Memandangkan program Malaysia #QuranHour pada tahun ini mengangkat tema Pesan Kemerdekaan Surah al-Kahf dan berlangsung sehari sebelum kemerdekaan, jadi kita mahu mengaitkan intisari yang terkandung dalam surah al-Kahf ini dengan kemerdekaan akidah pemuda yang lari ke gua al-Kahf dengan keadaan hari ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Malaysia #QuranHour 2019 di Jakim baru-baru ini.

Paimuzi (tengah) bersama pihak Jakim dan WUIF menunjukkan tanda sokongan terhadap kempen Malaysia #QuranHour 2019 baru-baru ini.
Paimuzi (tengah) bersama pihak Jakim dan WUIF menunjukkan tanda sokongan terhadap kempen Malaysia #QuranHour 2019 baru-baru ini.

Menurutnya, maksud kemerdekaan yang terkandung dalam surah al-Kahf adalah kebebasan yang tidak dipengaruhi dengan apa-apa yang negatif dan bukan sekadar bebas daripada penjajah.

“Ia bermaksud kebolehan untuk berdiri sendiri dan sifat berbangga dengan jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai peranan Jakim sebagai penganjur bersama dalam program Malaysia #QuranHour, Paimuzi berkata, pihak Jakim terbuka dalam memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan program yang mengajak masyarakat ke arah sesuatu yang positif dan baik.

Artikel Berkaitan:

“#QuranHour amat sesuai dengan Jakim dan al-Quran pula adalah panduan hidup kita.

“Apabila Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak kami untuk menjadi penganjur bersama, kami bersedia menerima dan menyambutnya dengan tangan terbuka.

“Kami berharap melalui program Malaysia #QuranHour masyarakat di negara ini tahu bahawa al-Quran itu bukan sekadar untuk dibaca tetapi ia untuk ditadabbur dan dihayati isi kandungannya kerana al-Quran sarat dengan panduan dalam seluruh kehidupan,” jelasnya.

Menurutnya, pihak Jakim mengharapkan supaya program Malaysia #QuranHour akan berterusan sehingga di masa depan dan seluruh warga Jakim akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Turut hadir pihak Jakim, WUIF, Astro Oasis dan Masjid Putra.

Mesyuarat Penyelarasan Program Malaysia #QuranHour 2019 di Jakim itu membincangkan persiapan program Malaysia #QuranHour termasuk atur cara, jemputan tetamu dan pengagihan tugas dalam kalangan rakan sinergi.