Tulisan jawi: Kenyataan saya disalah tafsir, kata Kit Siang

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa seseorang perlu belajar tulisan jawi untuk menjadi rakyat Malaysia.

Menurutnya, tulisan beliau di blognya semalam berhubung kontroversi pengenalan tulisan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah mulai tahun depan telah disalah tafsir.

Katanya, beliau memberitahu pernah mempelajari tulisan jawi sewaktu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1969, namun perkara itu tidak pernah mengurangkan identiti Cina dalam dirinya.

"Sama seperti orang Melayu yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, ia tidak menjadikan identiti kemelayuan mereka kurang di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Putrajaya sokong KPM perkenal tulisan jawi di sekolah

Tulisan jawi: UMNO, Pas jangan cari modal politik

"Begitu juga dengan orang Cina yang tahu tulisan Jawi tidak menjadikan identiti mereka sebagai kaum Cina berkurangan... Mungkin pengambilalihan tambahan bahasa lain akan menjadikan mereka sebagai rakyat Malaysia yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan akhbar dari Banglore, India, hari ini.

Bagaimanapun katanya, tidak ada paksaan dalam pembelajaran bahasa lain.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kit Siang di blognya menulis belajar tulisan jawi tidak akan menyebabkan orang Cina mengkhianati bangsa, bahasa dan kebudayaan mereka.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum, budaya, agama serta pelbagai bahasa.

"Jadi kita perlu memanfaatkan keunikan tersebut untuk membina bangsa Malaysia yang lebih baik.

"Kita juga perlu berhati-hati agar tidak masuk ke perangkap pihak-pihak yang cuba untuk membangkitkan rasa curiga antara agama, ketidakpercayaan dan kebencian dalam masyarakat untuk mendapatkan semula kuasa politik," katanya.