Tulisan jawi: UMNO, Pas jangan cari modal politik

Mujahid bergambar bersama kepimpinan Amanah Kawasan Sabak Bernam dan tetamu yang hadir pada Program Dialog Rahmatan Lil Alamin Bersama NGO-NGO Islam dan Komuniti di Pusat Khidmat ADUN Sabak, di sini malam tadi.
A
A

SABAK BERNAM - Pemimpin UMNO dan Pas dinasihat tidak memainkan isu bantahan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah hanya untuk kepentingan politik parti masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kerajaan lebih mengetahui apa yang ingin dilaksanakan.

"Sepatutnya isu itu dilihat secara positif dan diberikan idea bukan untuk membantah atau membangkang semata-mata," katanya pada sidang media selepas Program Dialog Rahmatan Lil Alamin Bersama NGO-NGO (Badan Bukan Kerajaan) Islam dan Komuniti di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, di sini malam tadi.

Mujahid berkata, malangnya, pembangkang menjadikan isu itu sebagai 'modal' menghentam kerajaan PH.

"Mereka (pembangkang) ambil sahaja isu ini kemudian dikaitkan dengan Melayu dan Islam," katanya.

Malah tegas beliau, isu tulisan jawi di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan itu pernah cuba dihapuskan semasa pemerintahan UMNO.

"Bagaimanapun ia dikembalikan semula dengan pelbagai program dan inisiatif," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan PH berusaha menghidupkan semula tulisan jawi sebagai satu warisan budaya memandangkan kemungkinan ramai generasi muda tidak pandai menulis dan mengenali huruf jawi.

"Saya melihat dalam perspektif sejarah. Saya difahamkan di sekolah pun tulisan jawi bukan wajib kerana subjek pilihan yang diambil waktu tambahan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah dengan alasan langkah itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Dalam pada itu, penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata, ia hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggunaan khat, tulisan jawi di sekolah boleh diteruskan: PM