Hong Kong terus bergolak

Seorang penunjuk perasaan menghadang pintu tren MTR di stesen Fortress Hill, Hong Kong. - Foto AFP
Seorang penunjuk perasaan menghadang pintu tren MTR di stesen Fortress Hill, Hong Kong. - Foto AFP
A
A
A

HONG KONG - Perjalanan sistem kereta api dan penerbangan antarabangsa di Hong Kong terjejas hari ini susulan tindakan penunjuk perasaan prodemokrasi mengadakan protes besar-besaran bagi meningkatkan tekanan terhadap pemimpin hab kewangan berkenaan.

Aktivis menyasarkan beberapa sistem kereta api bawah tanah ketika waktu puncak dan dengan sengaja membiarkan pintu tren terbuka bagi menghalangnya daripada bergerak.

Keadaan itu menyebabkan barisan panjang dan pertengkaran antara pengguna tren yang mahu ke tempat kerja dan kumpulan penunjuk perasaan.

"Selagi kerajaan tidak memberi respons, gerakan tunjuk perasaan akan berterusan dan menjadi semakin buruk," kata seorang penjawat awam kepada AFP.

ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan Hong Kong: Puluhan cedera serangan di stesen kereta api bawah tanah

Sementara itu, lebih 100 penerbangan di lapangan terbang Hong Kong dilaporkan terpaksa dibatalkan pada pagi ini dan pihak berkuasa penerbangan memaklumkan kemungkinan berlaku gangguan.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam menegaskan penunjuk perasaan menjerumuskan Hong Kong ke dalam situasi bahaya susulan demonstrasi berterusan.

"Gangguan yang berlaku atas nama beberapa permintaan tertentu telah memperkecilkan undang-undang dan peraturan Hong Kong, sekali gus menjerumuskan bandar yang kita sayang dan bina bersama ini ke dalam situasi amat bahaya.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan akan bertegas dalam mengekalkan undang-undang di Hong Kong dan mengembalikan keyakinan," kata Lam kepada wartawan pada satu sidang akhbar hari ini.

Pemimpin pro-Beijing itu turut mendakwa penunjuk perasaan cuba untuk menggulingkan Hong Kong dan memusnahkan kehidupan penduduknya berikutan protes besar-besaran yang sering bertukar ganas.

Penunjuk perasaan pula menuduh pihak polis menggunakan kekerasan melampau dan ia memaksa mereka menggunakan taktik ganas bagi mengelak kebebasan Hong Kong terus diragut di bawah pemerintahan Beijing.- AFP