Rusuhan Hong Kong: Puluhan cedera serangan di stesen kereta api bawah tanah

Kumpulan penyerang dipercayai kongsi gelap berkumpul di stesen MTR Yuen Long selepas melakukan serangan. - Foto Reuters
A
A

HONG KONG - Kemarahan memuncak di Hong Kong hari ini berikutan serangan ganas terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi oleh sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap yang mencederakan berpuluh orang pada saat kemelut politik semakin membelenggu hab kewangan antarabangsa itu.

Rusuhan di bandar raya Hong Kong lewat malam semalam bertukar ganas apabila sekumpulan lelaki berpakaian putih dan memakai penutup muka serta bersenjata kayu pemukul dan batang besi menyerang penunjuk perasaan antikerajaan yang dalam perjalanan pulang dari satu lagi himpunan besar pada awal hari yang sama.

Rakaman langsung yang disiarkan menerusi Facebook menunjukkan kumpulan penyerang terbabit memukul orang ramai yang berada di stesen kereta api bawah tanah (stesen MTR) daerah Yuen Long.

Pihak berkuasa hospital memaklumkan, seramai 45 orang cedera ekoran serangan terbabit, seorang daripadanya dalam keadaan kritikal manakala lima lagi cedera parah.

Kumpulan penyerang berpakaian putih menyerang penunjuk perasaan dan penumpang di stesen MTR daerah Yuen Long, Hong Kong semalam.
Kumpulan penyerang berpakaian putih menyerang penunjuk perasaan dan penumpang di stesen MTR daerah Yuen Long, Hong Kong semalam.

Sementara itu, pengkritik menuduh pihak polis mengambil masa lebih satu jam untuk sampai ke stesen berkenaan walaupun menerima banyak panggilan kecemasan berhubung serangan selain gagal menahan kumpulan penyerang yang berkumpul di sekitar kawasan stesen sehingga pagi tadi.

Lam Cheuk-ting, seorang penggubal undang-undang prodemokrasi yang juga cedera dalam serangan, mengkritik respon pihak polis dan menuduh ahli kongsi gelap bertanggungjawab melakukan serangan terbabit.

"Perbuatan ganas mereka melanggar dasar masyarakat bertamadun Hong Kong," katanya kepada wartawan.

"Apabila ahli kongsi gelap China menyerang penduduk, pihak penguatkuasa undang-undang tidak kelihatan. Kerajaan patut berasa malu," kata seorang aktivis prodemokrasi terkenal, Nathan Law di laman Twitter.

Kekecohan terbaharu tu menimbulkan kebimbangan bahawa ahli kongsi gelap kini mula mencampuri konflik politik.

Daerah Yuen Long terletak di kawasan New Territories berhampiran sempadan China di mana kumpulan penjenayah dan kumpulan setia pro-Beijing mempunyai pengaruh besar. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia